Dunia, khususnya benua Asia, kini sangat memerlukan wacana (spektrum politik) Kiri-Tengah yang tersusun. Pilihan raya yang baru selesai di Australia dan Jerman, sama seperti di Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia tahun kebelakangan, menghasilkan – tanpa mengambil kira keunikan tempatan – adunan yang luar biasa sama buat parti-parti haluan kanan.
Pertama, dengan merampas manifesto seteru haluan kiri mereka, dan kedua, gabungkannya dengan menaikkan keghairahan nasionalis yang selalunya berpihak kepada parti aliran kanan, terutama di saat krisis dan ketidakstabilan.
Di Jerman sekali pun, Kesatuan Demokratik Kristian pimpinan Angela Merkel secara strategik bergerak ke kiri untuk membendung rasa tidak puas hati rakyat yang kian meningkat terhadap kapitalisme, dan dengan berbuat demikian, beliau merampas perhatian yang diterima Parti Sosial Demokrat.
Dengan mengambil risiko generalisasi sehingga mengenepikan faktor setempat, masih berbaloi untuk ditanya – mengapa parti-parti haluan kiri, yang sepatutnya mewakili kumpulan kurang berkemampuan, gagal memenangi pilihan raya di saat kegawatan ekonomi global.
Kurangnya wacana sosial demokrasi
Mungkin cabarannya terletak pada hakikat bahawa tiada wacana Kiri-Tengah sosial demokrasi yang segar pada hari ini.
Di Asia, kebanyakan parti sosial demokrasi dilonggokkan bersama-sama komunis, yang sebenarnya ironik kerana kedua-duanya bermusuhan antara satu sama lain. Kedua-duanya kemudian dihapuskan bersama, selalunya dengan ganas dan kejam ketika kemuncak Perang Dingin. Sehingga kini, apa sahaja yang condong kiri dilayan dengan syak wasangka oleh masyarakat Asia – termasuk Taiwan, Korea Selatan, Malaysia, Filipina dan Indonesia.
Dalam konteks Eropah, pesaing yang paling berkesan kepada komunis sebenarnya adalah sosial demokrat, bukannya parti haluan kanan. Gerakan-gerakan sosial demokrasi berjaya mendapat kemenangan dengan cara aman, selepas menerima proses berparlimen.
Namun semenjak Margaret Thatcher dan Ronald Reagan mengalihkan ‘tengah’ ke arah kanan, golongan neo-liberal menjadi pentakrif kepada agenda makro-ekonomi melalui potongan serta perlindungan cukai, dan penswastaan institusi kerajaan, yang menghilangkan kemampuan kerajaan untuk mengagihkan kekayaan dan peluang.
‘Buruh Baru’ yang dimulakan pemimpin Parti Buruh Britain, Tony Blair mengambil akarnya daripada kerajaan Parti Buruh Australia pimpinan Bob Hawke dan Paul Keating (1983-1996). Semua parti yang masih berpegang kepada sosial demokrasi pada ketika itu mencari titik temu dengan pihak kanan, menerima ‘rasionalisasi ekonomi’ atau idealisme neo-liberal sebagai kebenaran hakiki.
Bagaimana golongan Kanan merampas agenda rakyat
Dengan tumbangnya Kesatuan Soviet dan negara-negara satelitnya – yang dikenang secara dramatik melalui runtuhnya Tembok Berlin – tiada lagi pencabar ideologi kepada neoliberalisme, situasi yang digambarkan dengan penuh euforia oleh Francis Fukuyuma sebagai ‘pengakhiran sejarah’.
Jaminan pekerjaan, gaji yang wajar dan kebajikan sosial dengan cepat menjadi idea-idea lama, sebagai penghalang kepada kedatangan ‘Dunia Baru’. ‘Globalisasi’ selalunya bermakna semakin ramai pekerja di seluruh dunia bergerak dalam semua arah untuk mencari pekerjaan, melahirkan perlumbaan sengit mendaki tangga gaji, sementara modal meninggalkan negara cukai tinggi untuk mencari kawasan yang terdapat pelepasan cukai (tax holiday), malah pengecualian cukai.
Pada dasarnya, program ekonomi oleh parti-parti arus perdana yang mewakili haluan kiri dan kanan tidak lagi punya perbezaan – dari hal-hal substantif sehingga pada nilai-nilai yang dizahirkan.
Dengan itu, di saat kesukaran ekonomi, di mana parti haluan kiri cenderung untuk cemerlang, apa yang perlu dilakukan oleh pihak kanan hanyalah meniru dasar seteru yang lebih manis bunyinya untuk mendapatkan sokongan pengundi.
Mengapakah pihak kanan dapat melakukannya dengan cukup mudah dan berjaya, adakah kerana tiadanya wacana Kiri-Tengah yang tersusun hari ini, yang menawarkan pemahaman agak menyeluruh tentang masalah sosio-ekonomi yang menimpa zaman kita, dan pada masa sama memberikan penyelesaian berdasarkan analisis tersebut.
Dengan jatuhnya Komunisme, idea bahawa kekayaan dan peluang yang diwujudkan perlu diagihkan kepada serata masyarakat oleh negara telah dilupakan. Dengan amnesia itu, jurang pendapatan yang amat besar melanda seluruh dunia sejak 1990.
Bukan sahaja ia mengancam kestabilan politik di kebanyakan negara, pelonggokan kekayaan melampau di tangan kelas maha-kaya yang semakin mengecil bilangannya hampir-hampir menghisap kemampuan penggunaan (consumption capacity) masyarakat keseluruhan apabila permintaan menjunam.
Maka, pada banyak aspek, kita kembali kepada era awal abad ke-20, di mana ketidakstabilan sosial mengancam untuk memusnahkan kapitalisme. Apa yang menyelamatkannya pada masa itu adalah gerakan-gerakan pembaharuan yang kita kenali hari ini sebagai parti demokrasi sosial.
Perlunya dasar Kiri-Tengah yang tersusun
Akan tetapi, oleh kerana Komunisme tidak hadir mengetuk muka pintu negara ini, keperluan untuk dasar-dasar sosial demokrasi tidak dirasakan sepenuhnya, dan kerajaan mendambakan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tidak berpenghujung, dengan harapan membuta-tuli bahawa kekayaan akan diagih dengan sendirinya.
Jurang pendapatan yang melebar memberitahu kita satu hal yang pasti – sama ada kekayaan melimpah ke bawah atau tidak, kesan itu tentunya lebih perlahan daripada kekayaan yang dikumpul ke dalam akaun pelaburan milik segolongan kecil individu dan keluarga maha-kaya.
Ketika era Kiri berhadapan secara berkesan dengan Kanan di Parlimen, perbezaan nilai diringkaskan sebagai antara Keadilan dan Kebebasan. Dengan runtuhnya Tembok Berlin, kebebasan segelintir telah mengambil alih, dan idea keadilan telah menghilang daripada pemikiran sehari-hari.
Sudah tiba masanya – demi kemapanan sosial pertumbuhan ekonomi serta kestabilan politik seluruh dunia – untuk keseimbangan baru antara keadilan dan kebebasan. Sosial demokrasi perlukan nafas baru.
Dan di Asia, seteru daripada ideologi sayap kanan tidak boleh sekadar bergantung kepada perca-perca idea populis untuk menang. Mereka perlukan platform dasar Kiri-tengah yang tersusun yang dapat menyeimbangkan keadilan dan kebebasan – dan mencari jalan untuk menerapkannya secara praktik.
Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen Kluang; manakala Dr. Ooi Kee Beng adalah Timbalan Pengarah Institut Kajian Asia Tenggara, Singapura. Terjemahan ini diambil daripada versi Bahasa Inggeris yang disiarkan akhbar ‘The Rocket’. Ia pertama kali terbit dalam ‘Socdem Asia Quarterly’ edisi Oktober 2013.
*’Kesan limpahan ekonomi’ dan ‘Teori Limpahan’ adalah istilah untuk merujuk kepada idea pelepasan cukai atau faedah ekonomi lain oleh kerajaan kepada perniagaan dan tingkat pendapatan yang lebih tinggi akan memberi kebaikan kepada ekonomi secara keseluruhan, seterusnya memberi faedah kepada golongan yang lebih miskin.