![9633a81d bfa2 4ebe 8b26 a04c42bcfbd1](https://dapmalaysia.org/wordpress/wp-content/uploads/2025/02/9633a81d-bfa2-4ebe-8b26-a04c42bcfbd1.jpg)
“Tangkapan” oleh pihak PDRM terhadap Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy bagi soal siasat berhubung mogok lapar oleh keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah membimbangkan dan telah menekankan keperluan untuk memenuhi janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan undang-undang yang bermasalah ini. SOSMA harus dikaji semula pada tahun ini untuk menghapuskan peruntukan yang kejam dan zalim bagi mempamerkan komitmen kerajaan perpaduan terhadap pembaharuan institusi yang sejajar dengan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah berjanji pada Disember 2022 bahawa SOSMA boleh disemak dan dipinda pada masa hadapan. Dalam kemenangan bersejarah di Parlimen pada Mac 2022, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menolak lanjutan Seksyen 4(5) SOSMA selama 5 tahun lagi. Seksyen 4(5) membenarkan tempoh tahanan sehingga 28 hari untuk siasatan tanpa sebarang akses kepada mahkamah.
Kesemua pimpinan PH sejak dahulu konsisten menganggap SOSMA terlalu zalim dan bersifat menindas. Selain daripada Seksyen 4(5), Seksyen 6, 13, 14, dan 30 juga bermasalah kerana sifat asalnya yang drakonian.
• Seksyen 6 berkaitan dengan pintasan komunikasi;
• Seksyen 13, yang berkaitan dengan jaminan selepas tertuduh didakwa dan memperuntukkan penahanan berterusan seseorang sementara menunggu perbicaraan, walaupun fakta kes tidak menyokong kepada sebarang keperluan penahanan pra-perbicaraan sedemikian;
• Seksyen 14 berkaitan dengan pengambilan keterangan saksi dalam keadaan terlindungtanpa kehadiran tertuduh atau peguamnya;
• Seksyen 30 yang membenarkan permohonan oleh pendakwa raya untuk menahan reman tertuduh yang telah dibebaskan selepas perbicaraan, sekiranya terdapat rayuan.
Lim Guan Eng
Ahli Parlimen Bagan