
Nahas tragis yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI di Lebuhraya Timur–Barat, Gerik adalah satu tamparan yang amat memilukan. Ia bukan sahaja meragut masa depan anak-anak muda, tetapi turut mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap statistik kemalangan, ada air mata dan hati yang hancur. Kesedihan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam kenyataannya bukan sekadar retorik, ia adalah isyarat jelas bahawa dasar dan penguatkuasaan keselamatan jalan raya kini tidak boleh lagi bersifat reaktif. Ia mesti tegas, menyeluruh, dan bebas manipulasi.
“Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya. Kami komited melindungi pengguna jalan raya, terutamanya daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan,” jelasnya.
Malaysia bukan kekurangan dasar. Kita ada garis panduan, undang-undang, dan prosedur. Tetapi tragedi seperti ini menunjukkan bahawa masih ada kelompongan besar antara polisi dan pelaksanaan. Penguatkuasaan mesti diperkasa. Jika tidak, pemandu tidak bertanggungjawab akan terus bermaharajalela di lebuh raya, memperjudikan nyawa manusia atas kelalaian dan kejar masa.
Antara langkah yang sedang dirangka dan wajar dipercepatkan pelaksanaannya ialah Speed Limiter wajib bagi semua kenderaan berat. Ini bukan soal sekatan kebebasan pemanduan, ini soal keselamatan awam.
Pelaksanaan dasar ini turut disokong penuh oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang menganggap bahawa ia suatu langkah tepat bagi meningkatkan keselamatan jalan raya. Malahan, menurut rekod, pengumuman dan diskusi mengenai perkara ini sudah dilaporkan sejak 10 tahun lalu. Pengumuman Menteri Pengangkutan baru-baru ini bahawa dasar ini akan dilaksana secara wajib menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI untuk melindungi pengguna jalan raya.
Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi tahun lepas telah memuktamadkan bahawa bermula 1 Januari 2025, semua bas dalam kategori Completely Knocked Down (CKD) diwajibkan memasang Speed Limiter ini. Langkah ini adalah titik permulaan ke arah kawalan yang lebih ketat ke atas had laju kenderaan berat, yang lazimnya terlibat dalam kemalangan berskala besar.
Namun, satu cabaran besar menanti: manipulasi. langkah Kementerian Pengangkutan untuk menutup ruang manipulasi sebelum peraturan ini dikuatkuasakan sepenuhnya adalah amat penting. Pelaksanaan tanpa pemantauan yang teliti hanya akan menjadikan Speed Limiter sebagai satu alat kosmetik semata-mata, ada di atas kertas, tetapi tidak berfungsi di atas jalan.
Langkah-langkah seperti pemeriksaan dan audit keselamatan (JISA) oleh JPJ serta surat tunjuk sebab oleh APAD kepada syarikat pengendali bas pasca-nahas juga patut dijadikan amalan berkala, bukan hanya selepas tragedi berlaku. Tindakan disiplin dan pembatalan lesen mesti dijalankan tanpa kompromi sekiranya terdapat kegagalan mematuhi piawaian.
Di peringkat lebih besar, keputusan Kerajaan sebelum ini untuk memperluas lorong khas bas juga harus dipuji. Ia memberi harapan bahawa kita sedang bergerak ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan selamat, bukan hanya dari sudut keselesaan, tetapi keselamatan teknikal.
“Kejadian ini harus menjadi peringatan kepada semua pihak — kerajaan, pengendali, dan masyarakat — bahawa tiada kompromi dalam soal keselamatan nyawa. Doa saya sentiasa mengiringi para mangsa dan ahli keluarga mereka yang sedang melalui saat yang amat sukar ini,” katanya.
Realitinya, keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama antara penggubal dasar, pengendali kenderaan, pemandu, dan masyarakat. Tetapi sebagai pembuat dasar, kerajaan wajib menggubal sistem yang ketat dan menyeluruh, dan memastikan tiada ruang kelonggaran untuk kecuaian.