Skip to content

10 Inisiatif Penting bagi Pembangunan Sabah dalam Belanjawan 2026

Saya mewakili rakyat Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan negeri Sabah menerusi Belanjawan 2026 yang baru dibentangkan.

 

Meskipun Sabah merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, negeri ini masih berdepan cabaran dari segi jurang pembangunan infrastruktur asas, terutamanya melibatkan rangkaian jalan raya, sistem bekalan air dan elektrik, serta kesiapsiagaan menghadapi bencana.

 

Justeru, Belanjawan 2026 memberi jaminan bahawa Sabah akan terus menjadi keutamaan dalam pengagihan peruntukan pembangunan negara, seiring dengan tekad Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kemajuan dan kemudahan asas yang setara dengan negeri-negeri lain.

 

Belanjawan kali ini turut menzahirkan keazaman Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur, memperluas akses kepada bekalan elektrik yang stabil, serta mempertingkatkan keupayaan negeri dalam menghadapi bencana alam secara mampan.

 

Antara 10 inisiatif penting yang akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Sabah termasuklah:

 

  1. Sabah menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026, iaitu RM6.9 bilion, sekali gus menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kadar Pemberian Khas kepada Sabah juga dikekalkan pada RM600 juta, selepas peningkatan dari RM300 juta ke RM600 juta tahun lalu.
  2. RM1 bilion diperuntukkan bagi projek air di Sabah termasuk pemasangan paip baharu di Tawau dan penggantian paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, meskipun pengurusan air adalah di bawah tanggungan kerajaan negeri..
  3. RM1.2 bilion disediakan bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik walaupun kawal selia tenaga telah diserah kepada kerajaan negeri, dengan tambahan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link untuk memastikan sistem penghantaran elektrik yang lebih stabil dan berdaya tahan.
  4. RM1.67 bilion disediakan bagi melaksanakan Pan Borneo Sabah mengikut jadual memperkukuh jaringan jalan darat di seluruh Borneo. Manakala Sarawak-Sabah Link Road Fasa (SSLR) 1 dijangka siap November 2026 sementara SSLR 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan 2029.
  5. Dalam aspek pengurusan bencana, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM39 juta bagi Projek Tebatan Banjir Fasa Kedua serta membina semula sekolah terkesan banjir di Inanam, di samping RM220 juta bagi membangunkan semula IPG Kampus Gaya yang rosak akibat kejadian tanah runtuh.
  6. RM2.3 bilion turut dilaburkan bagi pembangunan lapangan terbang termasuk Kota Kinabalu dan Tawau.
  7. RM80 juta peruntukan bagi penjenamaan semula Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) sebagai Pusat Jantung Sabah. Klinik Kesihatan baharu turut akan dibina di Nabawan, Sabah.
  8. Hampir 2 bilion ringgit disediakan bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif khususnya di Sabah Sarawak. Tiga sekolah baharu akan dibina di Sabah termasuk SK Sri Apas Jaya, Tawau; SK Sabandar, Tuaran; SK Alam Mesra, Kota Kinabalu.
  9. Kerajaan menyokong kegiatan ekonomi di sempadan negara dengan menambah baik prasarana asas, antaranya membina jalan baharu Kalabakan, Sabah ke Simanggaris, Indonesia sepanjang 28 kilometer.
  10. Bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh pengoperasian pada Jun 2026 akan digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu.

 

Langkah-langkah ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memperkukuh infrastruktur asas Sabah, memperbaiki kualiti hidup rakyat, serta membina daya tahan negeri dalam menghadapi cabaran bencana alam.

 

Sebagai rakyat Sabah, saya amat menghargai perhatian khusus yang diberikan oleh Menteri Kewangan terhadap isu-isu pembangunan luar bandar dan pedalaman, khususnya dalam memastikan akses jalan raya, air bersih, dan elektrik dinikmati secara menyeluruh.

 

Dengan pelaksanaan yang telus dan efisien, Belanjawan 2026 diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi Sabah dan pengukuhan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.