Skip to content

10 tahun selepas tsunami

10 tahun lalu, pada 25 Disember 2004, buat kali pertamanya negara kita dikejutkan dengan musibah ombak besar yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa pun.

Sehari sebelum kejadian, tiada sesiapa yang percaya pekan kecil di muara Sungai Muda akan menjadi perhatian negara dan dunia. Di Pulau Pinang pula, rata-rata ramai sedang sibuk melayan kunjungan pelancong dan sanak-saudara yang bersiap untuk perayaan.

Sehari sebelum kejadian, tiada seorang pun yang boleh menggambarkan sebuah tsunami, malah mungkin menyangkanya sebagai bala yang hanya terjadi dalam filem bencana Jepun.

Namun, ombak besar itu tiba juga.

Di Pulau Pinang, musibah sekelip mata itu melanda Tanjong Bunga, Batu Feringgi, Teluk Bahang dan Pulau Betong. Peristiwa ini tidak mungkin boleh dilupakan oleh sesiapa apabila tsunami meragut 52 nyawa dengan lima lagi dilaporkan hilang, serta mencederakan 2006 orang, manakala 615 rumah dan 1,332 buah bot musnah.

Sejak daripada itu, pandangan kita mengenai bencana alam serantau sudah pun berubah.
Kita kini lebih memahami bahawa bencana yang berlaku ribuan kilometer jauhnya tidak bermakna tidak akan sampai ke laman rumah kita. Kita kini lebih bersedia dan lebih menghormati kuasa alam yang tidak boleh diduga.

Tsunami yang berlaku 10 tahun lalu bukan sahaja meragut kedamaian kita, tetapi juga mengajar kita bahawa kita bukan lagi terpisah antara sempadan negara. Musibah alam tidak mengenal sempadan yang direka manusia. Dan meskipun tiada yang mampu kita lakukan untuk mengelak daripada terjadi bencana seperti gempa bumi dan tsunami, namun kita telah belajar untuk meminimakan kesannya. Kini kita lebih menghargai hutan bakau sebagai penebat semula jadi dan lebih berhati-hati dengan pembangunan pinggir laut.

Tambahan pula, kejadian tsunami benar-benar membekas dalam sanubari bangsa Malaysia sehingga kata yang begitu asing dalam kosa kata kita kini sering diguna pakai untuk menggambarkan gelombang perubahan yang datang secara tiba-tiba.

Justeru, pada ulangtahun ke-10 kejadian tsunami ini, marilah kita memperingati mangsa tragedi mangsa tragedi dan berdoa semoga kita lebih bersedia pada masa akan datang dalam menghadapai segala cabaran, besar mahupun kecil. Semoga segala dugaan yang tiba tidak melemahkan kita tetapi sebaliknya mengukuh dan menyatu-padukan kita semua.