Pertama sekali, saya menyambut baik keputusan kerajaan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM785.9 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2015 berbanding tahun ini.
Namun timbul persoalan di mana letaknya fokus kerajaan menerusi bajet tambahan tersebut?
Saya telah bangkitkan sebelum ini bagaimana dalam Bajet 2015, unit Cawangan Khas (SB) mendapat lebih banyak fokus dan peruntukan secara relatifnya berbanding Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). (http://www.malaysiakini.com/news/277293)
Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa pada tahun depan, akan ditambah seramai 11, 757 anggota PDRM baru.
Dalam hal ini, soalan yang penting ialah, 11,757 anggota polis baru ini akan ditempatkan di Jabatan mana?
Jabatan Siasatan Jenayah kekurangan anggota polis
Kini PDRM mempunyai 141,365 anggota, dengan 41.4% di unit Pengurusan dan 26.9% di unit Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, dua unit terbesar dalam PDRM.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pula hanya mempunyai 11.4% anggota berbanding keseluruhan anggota PDRM.
Dari jumlah tersebut, bukan semua anggota polis JSY mempunyai kuasa penyiasatan terus. Dalam JSJ, hanya ada lebih kurang 24% sahaja anggota yang berpangkat Inspektor ke atas yang boleh dilantik sebagai “Pegawai Penyiasat” (Investigating Officer – IO).
Tidak hairanlah Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pernah dilaporkan berkata bahawa seorang IO terpaksa mengendalikan sehingga 19 kes sebulan dan di kawasan “hot spot”, IO terpaksa mengendalikan sehingga 30 kes sebulan.
Mengikut Laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin 2005, seorang IO secara idealnya patut mengendalikan lima (5) kes sebulan.
Laporan Tun Dzaiddin tersebut juga menyatakan bahawa, 10 tahun yang lepas, pada tahun 2004, PDRM sendiri telah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk meningkatkan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah kepada 28,000 orang anggota
11,757 anggota polis baru perlu diserapkan sepenuhnya ke dalam JSJ, 30% mestilah polis wanita
Justeru, saya menyeru agar bagi 11, 757 anggota polis tersebut, dua perkara berikut dilaksanakan:
Pertama, saya menyeru agar kesemua 11,757 anggota polis yang baru ini diserap ke dalam Jabatan Siasatan Jenayah sejajar dengan usaha untuk mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di negara kita.
Pada hari ini, Jabatan Siasatan Jenayah hanya ada 16,062 orang anggota, jika ditambah 11,757 anggota yang baru, pun hanya 27,819 orang, masih belum mencapai targetnya 10 tahun yang lalu seperti yang dinyatakan dalam Laporan Tun Dzaiddin. Tetapi sekurang-kurangnya ini merupakan penambahan yang memenuhi keperluan Jabatan Siasatan Jenayah seperti yang diperakui PDRM sejak 2004.
Keduanya, saya menggesa agar daripada 11,757 anggota polis baru tersebut, sekurang-kurangnya 30% mestilah polis wanita.
Mengikut jawapan Menteri Dalam Negeri kepada saya di Parlimen pada tahun 2013, jumlah keseluruhan polis wanita dalam PDRM hanyalah lebih kurang 10.3% ataupun 11,516 orang anggota sahaja. Justeru, tidak keterlaluan saya menyeru agar 30% daripada anggota polis baru tersebut dijawat oleh wanita. Ini bukan sahaja memberikan lebih banyak peluang kepada wanita untuk memasuki pasukan polis, ia juga bertujuan membolehkan “gender sensitisation” dalam PDRM terutamanya bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggan wanita dan mengendalikan kes-kes jenayah gender seperti jenayah seksual, dan keganasan rumah tangga.
Unit | Bil anggota | Peratus |
Pengurusan | 58,518 | 41.4% |
Logistik | 12,561 | 8.9% |
Penyiasatan jenayah | 16,062 | 11.4% |
Risikan keselamatan | 8,260 | 5.8% |
Pencegahan dadah | 5,763 | 4.1% |
Keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam | 38,034 | 26.9% |
Siasatan jenayah komersil | 2,167 | 1.5% |
Jumlah | 141,365 | 100% |
Keanggotaan polis mengikut Laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015