Skip to content

12 maut motosikal setiap hari, merupakan 60% daripada jumlah kemalangan maut yang dilaporkan

Kemalangan motosikal merupakan nahas jalanraya yang sangat signifikan di negara kita. Mengikut statistik yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia didapati bahawa jumlah purata kes kemalangan yang melibatkan motorsikal di negara ini adalah sekitar 120 000 kes setahun. Jumlah kemalangan ini meningkat setiap tahun iaitu 111,819 kes pada tahun 2008 kepada 130,080 kes pada tahun 2012.

Dalam tempoh 5 tahun iaitu dari tahun 2008 hingga tahun 2012, telah berlaku peningkatan sebanyak 16.3 % dalam jumlah kemalangan yang melibatkan motosikal. Begitu juga jumlah kes kemalangan maut akibat daripada motosikal juga didapati meningkat dari 3963 kes pada tahun 2008 kepada 4780 kes pada tahun 2012. Kadar peningkatan jumlah kes kemalangan maut motorsikal adalah 20.6% bagi tempoh lima tahun yang sama.

Purata kemalangan maut yang melibatkan penunggang dan pembonceng adalah lebih kurang 4200 orang setiap tahun. Jumlah ini merupakan kira-kira 60% daripada jumlah kemalangan maut bagi semua kategori kenderaan

Selangor merupakan negeri yang paling banyak mengalami kemalangan maut motorsikal iaitu 802 orang pada tahun 2012. Negeri Johor pula mencatatkan kemalangan motorsikal sebanyak 654 orang diikuti oleh Perak seramai 642 orang pada tahun yang sama.

Berdasarkan statistik yang dibekalkan didapati bahawa jumlah kemalangan motorsikal dan kemalangan maut motorsikal merupakan satu masalah serius yang dihadapi oleh pengguna jalan raya setiap hari. Boleh dikatakan bahawa setiap hari 12orang mati dalam nahas jalan raya yang melibatkan motorsikal. Oleh yang demikian, fokus perlu diberikan untuk menangani fenomena ini. Setakat ini didapati tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan tidak berjaya mengurangkan kadar kemalangan motorsikal.

Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh lima tahun yang lepas? Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Dalam Negeri harus merangka strategi-strategi yang cekap dan berkesan dalam mengatasi masalah ini dalam tempoh terdekat. Kita tidak boleh membiarkan nyawa rakyat Malaysia terkorban secara sia-sia.

Saya bercadang untuk membangkitkan isu ini dalam Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 7 Oktober 2014. Saya akan menanyakan tentang jumlah wang yang diperuntukkan oleh kerajaan khusus untuk membantu mengurangkan kemalangan motorsikal. Saya juga berminat untuk mengetahui tentang statistik kemalangan motorsikal ini berdasarkan kategori umur untuk menilai dan mengkaji masalah ini dalam pelbagai konteks yang berbeza.