Skip to content

20,000 vaksin yang diderma oleh Selangor patut digunakan segera bagi penjaja dan pekerja sektor perniagaan di Pulau Pinang untuk mempercepatkan pembukaan semula ekonomi

Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah mengesahkan bahawa Menteri Besar Selangor, Amirudin Bin Shari bukan saja telah bersetuju untuk membenarkan Pulau Pinang meminjam 200,000 dos vaksin Sinovac daripada Selangor untuk memenuhi kekurangan yang disebabkan oleh gangguan bekalan Pfizer tetapi juga akan menderma 20,000 dos kepada Pulau Pinang. Ini berikutan kenyataan saya menyoal EXCO Kesihatan Pulau Pinang atas kegagalan beliau melaporkan bahawa Selangor akan menderma 20,000 dos vaksin, yang difahamkan akan dibuat sendiri oleh Amirudin apabila beliau melawat Pulau Pinang minggu depan.

Saya telah berbincang dengan Menteri Besar Selangor dalam satu perjumpaan peribadi pada 23 Ogos 2021 dan Amirrudin telah mencadangkan untuk menderma 20,000 dos kepada Pulau Pinang. Ketika itu, tidak disebut tentang Pulau Pinang akan meminjam 200,000 dos kerana keputusan ini hanya boleh dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

CITF akan memulangkan 200,000 dos vaksin yang dipinjam kepada Selangor pada tarikh kemudian apabila bekalan vaksin yang tetap dapat dipulihkan. 20,000 vaksin yang diderma Selangor mempunyai kos pasaran semasa bernilai RM 3.5 juta dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Amirrudin atas sumbangan persaudaraan kepada Pulau Pinang.

Keputusan Amirudin untuk membeli 1.25 juta dos vaksin terbukti betul dengan masalah yang dihadapi sekarang yang berpunca daripada gangguan bekalan. Lembah Klang telah mencapai kadar vaksinasi penuh iaitu 88.7% populasi dewasanya. Malah baru-baru ini, Menteri Besar Kelantan secara terbuka mengumumkan hasrat beliau untuk membeli vaksin bagi negeri Kelantan.

Gangguan dalam bekalan vaksin telah menyebabkan huru hara dalam program vaksinasi di mana Pulau Pinang telah merosot daripada kedudukan ke-6 kepada kedudukan ke-7 dari segi vaksinasi penuh untuk populasi dewasa. Melaka kini mendahului Pulau Pinang dengan 54.7% berbanding 53.1% populasi dewasa yang telah menerima dua dos penuh pada 27 Ogos. Pada 27 Ogos, hanya 24,318 dos telah diberikan di Pulau Pinang, jauh di bawah sasaran sekurang-kurangnya 30,000 dos harian yang dicapai bulan lalu.

Pulau Pinang telah merekodkan angka tertinggi kematian sebanyak 38 orang pada 27 Ogos dan lonjakan mendadak jangkitan di Pulau Pinang terus meningkat tanpa terkawal. Ada keperluan mendesak untuk meningkatkan vaksinasi sebagai salah satu langkah yang paling efektif bagi meredakan kesan Covid-19. Walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK berada di bawah kerajaan persekutuan, rakyat Pulau Pinang tidak berpuas hati dengan kadar vaksinasi yang perlahan dan mula menyalahkan kerajaan negeri. EXCO Kesihatan Pulau Pinang perlu bekerja dengan lebih keras untuk mengelakkan kelewatan dalam vaksinasi yang boleh menyebabkan risiko yang lebih tinggi kehilangan nyawa.

Sebagai permulaan, 20,000 dos vaksin yang diderma oleh Selangor patut digunakan segera bagi penjaja dan pekerja sektor perniagaan di Pulau Pinang untuk mempercepatkan pembukaan semula ekonomi. EXCO kerajaan negeri Pulau Pinang patut melaksanakan tugas beliau untuk memastikan perkara ini dilakukan dalam tempoh masa yang sesingkat mungkin bagi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.