Skip to content

Pasca himpunan 916: Parti komponen BN tunggu apa lagi?

Masanya sudah tiba untuk parti-parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional untuk meninggalkan gabungan politik yang didominasi Umno itu, setelah perhimpunan berbaur perkauman tersebut mendapat restu Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sendiri, yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional.

Parti-parti MCA, MIC dan Gerakan kedengaran hanya mampu bermain retorik, kononnya mereka sedih dan kecewa dengan sentimen perkauman sempit yang dimainkan dalam perhimpunan tersebut. Walaupun mereka telah dihina semahu-mahunya oleh rakan-rakan dalam Umno dengan ucapan-ucapan perkauman melampau dan tindakan provokatif yang disaksikan seluruh dunia pada perhimpunan 916 tersebut.

Retorik paling menyedihkan dituturkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong, juga Timbalan Presiden MCA yang bertanggungjawab ke atas kampung-kampung baru Cina. Kononnya hati beliau terluka dengan permainan sentimen perkauman perhimpunan baju merah yang telah mencemarkan Hari Malaysia tempoh hari.

Kenapa langsung tidak ada wakil daripada MCA, Gerakan mahupun MIC yang berani menyatakan bahawa mereka akan meninggalkan Umno? Adakah kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri yang didahulukan berbanding maruah dan kepentingan rakyat Malaysia berbilang kaum?

Belum pernah lagi Umno memainkan sentimen perkauman seteruk ini dalam rangka mengalihkan perhatian orang ramai daripada dosa-dosanya dalam skandal 1MDB, skandal terbesar dalam sejarah yang melibatkan seorang Perdana Menteri.

Masanya sudah tiba untuk MCA, Gerakan dan MIC meninggalkan Umno, sekiranya mereka tidak mahu terus dilihat merelakan tindak-tanduk Umno dan terus menjadi pak sanggup setelah berpuluh tahun ‘dilatih’ untuk tunduk dan patuh dalam gabungan BN.

DAP memberi MCA, Gerakan dan MIC tempoh satu bulan untuk menjelaskan kepada ahli dan penyokong mereka sebab dan hujah kenapa mereka tidak wajar meninggalkan BN selepas perhimpunan perkauman 916 yang telah berlangsung dengan restu daripada Umno.