Sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon telah mengeluarkan satu kenyataan yang cukup bodoh dan memalukan Kementerian Pendidikan Malaysia dan beliau perlu meletakkan jawatan Timbalan Menterinya serta-merta!
Dalam satu majlis di sebuah Sekolah Cina pagi tadi, beliau mempertahankan bahawa sistem pendidikan rendah aliran Cina (SJKC) tidak menyemai semangat perkauman dan bukan merupakan punca kepada masalah perkauman di Malaysia.
Saya tidak bercanggah pendapat dengan beliau dalam perkara ini dan bersetuju bahawa SJKC tidak sepatutnya dipersalahkan oleh mana-mana pihak khususnya pemimpin-pemimpin UMNO sebagai punca kepada segala masalah perkauman di Malaysia.
Namun, kenyataannya yang cukup bodoh ialah cuba mengalihkan masalah perkauman terhadap DAP dengan menyatakan bahawa pemimpin DAP yang kebanyakkannya mendapat pendidikan dari aliran kebangsaan (SK) yang menghidupkan elemen dan semangat perkauman.
Kenyataannya yang dilaporkan dalam Malaysiakini adalah seperti berikut:
“Almost all the MCA leaders are from Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC or National-Type Chinese Schools). But those who have been alleged to have revived racial elements, from the DAP, are all from Sekolah Kebangsaan (SK or National Schools) and not from SJKC.”
“They don’t speak Chinese,” Chong (photo), who is MCA Youth chief, said during his visit to a Chinese primary school in Kuala Lumpur.
Bukankah beliau cuba merumuskan bahawa sistem aliran Sekolah Kebangsaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan telah menyemai semangat perkauman? Sekiranya beliau mempunyai pandangan tersebut, mengapakah beliau masih tidak berasa malu untuk mengambil jawatan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pendidikan yang memperkasakan sistem aliran kebangsaan?
Saya belajar di aliran kebangsaan dari sekolah rendah sehinggalah peringkat universiti. Saya tidak bersetuju bahawa masalah perkauman di Malaysia berpunca daripada sistem pendidikan negara walau dari apa aliran sekalipun. Semangat perkauman yang disemai dalam masyarakat kita adalah berpunca daripada kewujudan parti-parti politik yang berasaskan perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC dan kegagalan dasar kerajaan Barisan Nasional untuk mempupuk perpaduan nasional yang sejati selama 58 tahun ini!
Chong Sin Woon juga amat jahil dalam pengetahuan mengenai latarbelakang pimpinan DAP. Pemimpin-pemimpin DAP mempunyai latarbelakang pendidikan yang berlainan dan bukannya dari satu aliran semata-mata. Apapun latarbelakang pendidikan kami, pemimpin-pemimpin DAP boleh bertutur dalam pelbagai bahasa sama ada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin mahupun Bahasa Tamil.
Inilah kekuatan dan kelebihan pimpinan DAP berbanding dengan pemimpin MCA yang mempunyai tahap pemikiran yang cukup sempit. Saya juga ingin mengingatkan Chong Sin Woon bahawa 2 bekas pemimpin veteran DAP iaitu mendiang Sdr Chan Kok Kit dan mendiang Sdr Dato’ Chian Heng Kai pernah dipenjarakan di bawah ISA selama 4 tahun 9 bulan kerana memperjuangkan sistem pendidikan aliran Cina di Malaysia. Adakah MCA mempunyai rekod sebegini?