Rombongan Ahli Parlimen DAP yang diketuai Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, bersama dengan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, sedang membuat lawatan kerja ke Tunisia dan Turki dari 12 Oktober hingga 17 Oktober 2015. Turut menyertai rombongan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu Dr Syed Azman Syed Nawawi.
Tujuan lawatan ini adalah untuk berjumpa dan membuka hubungan dengan pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat madani di negara-negara tersebut agar dapat bertukar fikiran dan berkongsi pengalaman mengenai proses pendemokrasian, khususnya peranan gerakan siasah Islam dalam suasana pasca-revolusi Arab Spring.
Sepertimana umum mengetahui, Tunisia adalah tapak mulanya revolusi Arab Spring pada akhir tahun 2010 dengan penggulingan diktator Zine El Abidin Ben Ali dan rejim kuku besi yang telah berkuasa selama 55 tahun. Namun, sedangkan negara-negara Arab Spring lain seperti Mesir dan Libya telah menemui kebuntuan setelah menjatuhkan rejim autoritarian di negara masing-masing, Tunisia berjaya melakukan peralihan kepada sistem demokrasi yang berteraskan kepada nilai-nilai kesaksamaan, keadilan dan keterangkuman.
Pun begitu, kejayaan Tunisia tidak dicapai dengan mudah. Pada tahun 2013, ketegangan politik hampir-hampir mencetuskan huru-hara, lantas mengancam kedamaian dan proses pendemokrasian negara itu. Mujur, keadaan diselamatkan dengan kerjasama dan persefahaman antara pelbagai pihak, termasuk Hizbul Ennahdah, iaitu gerakan siasah Islam dan parti politik terbesar pada masa itu, serta parti-parti lain yang pelbagai haluan.
Persefahaman telah dicapai melalui dialog kebangsaan yang dimudahcarakan oleh gabungan NGO yang dinamakan National Dialogue Quartet, yang terdiri daripada Tunisian General Labour Union, Tunisian Confederation of Industry, Trade and Handicrafts, Tunisian Human Rights League dan Tunisian Order of Lawyers. Usaha dan kejayaan mereka baru sahaja diberi pengiktirafan oleh masyarakat antarabangsa dengan penganugerahan Hadiah Nobel Perdamaian 2015 pada minggu lepas.
Justeru, pada 12 Oktober, rombongan kami telah membuat kunjung hormat kepada Sheikh Rached Ghannouchi, iaitu Presiden Ennahdah dan seorang tokoh agama yang sangat disegani dan dihormati bukan sahaja di Tunisia malah dalam dunia Islam. Perbincangan kami meliputi pelbagai bidang, termasuk masa depan Islam, peri pentingnya kemuafakatan ataupun konsensus politik antara semua pihak, serta maqasid syariah yang menekankan kepentingan nilai-nilai Islam berdasarkan konsep rahmatul-lil-alamin.
Pada 13 Oktober pula, rombongan kami telah mengadakan dialog bersama Ahli-ahli Parlimen Ennahdah di Bangunan Parlimen di Tunis, ibu kota Tunisia. Walaupun sudah tidak berkuasa sebagai parti utama, Ennahdah masih lagi menjadi rakan kongsi dalam gabungan kerajaan yang kini diketuai Parti Nidaa Tounes. Ennahnah mempunyai 69 orang Ahli Parlimen daripada 217 keseluruhannya, dan hampir setengah daripada Ahli Parlimennya merupakan wanita.
Kami juga telah bertemu dengan salah satu daripada gabungan NGO yang baru memenangi Hadiah Nobel Perdamaian, iaitu Tunisian General Labour Union (UGTT) yang diwakili oleh Timbalan Setiausaha-Agung Samir Cheffi serta Ketua Penerangan Sami Tahri. Peranan yang dimainkan oleh organisasi mereka, bersama dengan rakan-rakan quartet lain, telah dikenal pasti sebagai faktor penting yang berjaya menumpulkan ancaman keganasan dan menggalakkan percambahan bibit demokrasi di negara yang penuh bersejarah ini.
Pada 14 Oktober, rombongan kami akan bertemu dengan sekumpulan Ahli Parlimen daripada parti terbesar dalam Parlimen Tunisia, iaitu Parti Nidaa Tounes, sebelum berangkat ke Istanbul, di mana kami akan meneruskan lawatan kerja kami dengan perjumpaan bersama tokoh-tokoh politik, akademik dan masyarakat madani di Turki.
Memandangkan perkembangan Turki sejak reformasi politik pada tahun 2002 dianggap ramai sebagai contoh kejayaan gerakan Islam yang bersifat moderat, kami yakin bahawa banyak yang boleh dipelajari, baik daripada kelebihan mahupun kelemahan, daripada pengalaman mereka.