Skip to content

Menyeru kerajaan pusat supaya menjalankan penstrukturan semula perjanjian-perjanjian konsesi lebuhraya

Perjanjian konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang telah ditandatangani oleh kerajaan dan tetuan Grand Saga Sdn Bhd pada 1995. Perjanjian konsesi tersebut telah menbenarkan GSSB menaiktaraf sebahagian Jalan Cheras dan mengutip bayaran tol selama 30 tahun. Walau bagaimanapun, tempoh konsesi yang sepatutnya berakhir pada 2025 ini telah dilanjutkan beberapa kali iaitu lanjutan 2 tahun pada tahun 2002, lanjutan 3 tahun pada tahun 2011 dan lanjutan selama 15 tahun pada tahun 2012.

Selain daripada itu, pampasan yang lumayan telah dibayar beberapa kali kepada GSSB dengan jumlah RM 284.48 juta. Kerajaan telah membayar RM 104.93 juta dan mengecualikan bayaran pinjaman kepada GSSB sebanyak RM 59 juta dengan faedah. Berikutan itu, pampasan sebanyak RM 120.55 juta telah dibayar kepada GSSB pada tahun tahun 2012.

Perbandingan jumlah pampasan yang telah bayar kepada syarikat konsesi itu oleh kerajaan pusat dengan kos pembinaan lebuhraya menunjukkan ia hanya menelan jumlah RM 275 juta sahaja. Perbandingan ini jelas menunjukkan syarikat konsesi telah mendapat pulangan yang lumayan. Perjanjian pensawastaan ini telah melencong dan secara tidak terus, kerajaan telah membiayai keseluruhan kos pembinaan lebuhraya ini. “Ini jelas menunjukkan kegagalan kerajaan yang telah merugikan seluruh rakyat Malaysia dengan menandatangani perjanjian konsesi lebuhraya yang berat sebelah dan langsung tiada ketelusan”.

Salah satu jalan untuk menyelesaikan kesengsaraan akibat kegagalan kerajaan pusat ini adalah penstrukturan semula perjanjian-perjanjian konsesi ini. Kerajaan harus melancarkan perbincangan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya dengan serta merta agar beban rakyat dapat di ringankan. Pembinaan lebuhraya intra negeri boleh dipertimbangkan sebagai pampasan kepada syarikat konsesi dengan syarat semua syarat perjanjian wajib diumumkan kepada orang ramai.