Skip to content

Adakah Pelan Pendidikan Malaysia masih relevan memandangkan terlalu banyak pusingan U?

Pada bulan September 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, dokumen yang diuar-uarkan oleh Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai manifestasi “yang paling komprehensif dan transformasi kerajaan paling besar dalam mendapatkan pulangan terbaik modal insan bagi memacu semua aspirasi pembangunan negara.”[1]

Menurut Pelan Pembangunan, walaupun murid kita “cemerlang dalam memuntahkan semula kandungan mata pelajaran,” mereka tidak berdaya saing dalam penilaian seperti PISA (Programme for International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) kerana mereka “tidak mampu menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi.”

Menyedari keperluan untuk mengasah kemahiran yang akan membolehkan murid kita “untuk membuat penaakulan, mengekstrapolasi, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif,”[2] maka Pelan Pembangunan menggariskan 11 anjakan yang akan mengubah sistem semasa yang berorientasikan peperiksaan kepada sistem “yang kurang tertumpu kepada meramal soalan dan topik yang akan keluar dan penghafalan bulat-bulat,” dan sebaliknya melatih murid “untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan mereka dalam persekitaran yang berbeza.”

Selain itu, Pelan Pembangunan juga mengakui bahawa peperiksaan sumatif seperti UPSR, PMR dan SPM “pada masa ini tidak menguji rangkaian penuh kemahiran yang dihasratkan oleh sistem pendidikan.”[3] Justeru, dalam usaha untuk mengalih tumpuan daripada pembelajaran hafalan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, pentaksiran berasaskan sekolah akan diperkenalkan dan dimasukkan ke dalam peperiksaan UPSR dan SPM. Malah, Pelan Pembangunan menyatakan dengan jelas bahawa menjelang 2016, “sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan peperiksaan UPSR dan 50 peratus dalam SPM akan terdiri daripada soalan pemikiran aras tinggi.”[4]

Malangnya, setelah hanya dua tahun pelaksanaan Pelan Pembangunan, beberapa dasar-dasar pembaharuan kini sedang diterbalikkan. Pada 9 Oktober 2015, satu pekeliling telah dikeluarkan membatalkan keputusan 2011 itu. Ini bermakna perubahan yang sepatutnya menggabungkan 40 peratus pentaksiran berasaskan sekolah dalam peperiksaan UPSR pada tahun depan telah dibatalkan, dan UPSR akan terus menjadi 100 peratus peperiksaan pusat bertulis.

Selain meresapkan pentaksiran berasaskan sekolah dalam UPSR dan SPM, Pelan Pembangunan juga menyatakan bahawa penilaian secara amali bagi mata pelajaran sains akan diperkenalkan semula mulai tahun 2015.[5] Walau bagaimanapun, dasar ini juga tidak menjadi berikutan pengumuman awal tahun ini bahawa peperiksaan amali untuk Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan, yang dijadualkan berlangsung dalam SPM tahun ini, akan ditangguhkan.

Satu lagi masalah asas yang dikenal pasti oleh Pelan ini adalah tahap penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, di mana hanya “28 peratus daripada murid mendapat kredit minimum dalam kertas Bahasa Inggeris SPM 2011 berdasarkan standard Cambridge 1119.”[6] Oleh itu, antara banyak langkah yang disyorkan oleh Pelan Pembangunan untuk menangani kelemahan tersebut adalah dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus pada peringkat SPM bermula tahun 2016.[7] Dasar ini juga, kini telah ditangguhkan.

Kesemua keputusan flip-flop ini bukan sahaja membazirkan bertahun-tahun masa dan usaha untuk melatih dan menyiap sediakan guru-guru, ibu bapa dan murid-murid, ia juga menimbulkan tanda tanya mengenai kerelevanan pelan transformasi pendidikan 12 tahun ini. Apa gunanya Pelan Pembangunan ini sekarang, apabila langkah-langkah utamanya tidak dituruti?

Tambahan pula, ia juga menimbulkan tanda tanya mengenai keberkesanan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu), sedangkan ia ditubuhkan sebagai sebuah entiti khas untuk memantau dan memastikan kejayaan langkah-langkah yang digariskan oleh Pelan Pembangunan. Jelas sekali, mereka telah gagal dalam peranan mereka sebagai pelaksana pelan transformasi pendidikan tersebut.

Implikasi pusingan U dalam dasar pendidikan ini amat serius, kerana ia bukan sahaja mendedahkan kegagalan pihak Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pembaharuan yang disyorkan oleh Pelan Pembangunan, tetapi juga untuk menyiap sediakan murid dan guru dengan secukupnya untuk format penilaian baru. Jika objektif jangka pendek pun tidak dapat dipenuhi, maka ada sebab yang kukuh untuk mempercayai bahawa Pelan Pembangunan ini adalah tidak lebih daripada sekadar satu percubaan yang tidak realistik serta tidak ikhlas dalam usaha memperbaharui sistem pendidikan.

Sumber:
[1] http://education.bernama.com/index.php?sid=news_content&id=975685

[2] Malaysia Education Blueprint, p. E-11

[3] Ibid.

[4] Ibid.

[5] Op. cit., p. 4-8

[6] Op. cit., p. E-12

[7] Ibid.