Skip to content

MCA bertanggungjawab untuk mendedahkan apa yang mereka faham daripada forum semalam bersama CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy

MCA mempunyai tanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia, bukan sahaja komuniti Cina; dan mereka bertanggungjawab untuk mendedahkan apa yang mereka faham daripada forum semalam bersama CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

MCA juga mesti membentangkan apa yang telah difahami oleh anggotanya sekiranya mereka percaya bahawa tiada undang-undang telah dilanggar dalam skandal 1MDB. Ini kerana kerajaan enggan menjawab soalan berkenaan 1MDB daripada ahli-ahli parlimen pembangkang tidak kira di dalam mahupun di luar parlimen.

Bolehkah pemimpin MCA menerangkan secara mudah bagaimana 1MDB dapat mengumpul hutang berjumlah USD11 bilion (kadar semasa RM46.8 bilion) bagi projek-projek mega yang tidak terlaksana?

Bolehkah MCA menjamin bahawa USD700 juta (RM2.98bilion) yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berasal daripada 1MDB?

Adakah presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya Datuk Seri Wee Ka Siong benar-benar yakin bahawa tidak ada sesiapa yang wajar didakwa kesalahan jenayah pecah amanah, penipuan mahupun bersekongkol menggelapkan wang, terutamanya bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Halmi berkait USD700 juta yang dipindahkan ke Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikawal oleh ‘penasihat rasmi’ 1MDB Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low?

Forum soal jawab bersama Arul Kanda nampaknya tidak lebih sekadar sandiwara untuk terus memperbodohkan ahli-ahli MCA dan melindungi Najib sekiranya pemimpin-pemimpin MCA gagal menjawab persoalan-persoalan mudah mengenai 1MDB.