Skip to content

Tak usah bicara bersopan atau tidak tayangan plakad ‘Mana RM2.6 Bilion’ dalam Parlimen

Biarkanlah sahaja jikalau Presiden Pas Hadi Awang ingin terus membayangkan tindak-tanduk ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan, termasuk juga sebilangan ahli Parlimen Pas yang menayang plakad ‘Mana RM2.6 Bilion’ sebagai suatu tindakan yang tidak sopan.

Selagi suara rakyat yang ingin bertanyakan Perdana Menteri Najib Razak ke mana perginya RM2.6 bilion dapat disampaikan secara langsung melalui cara ini, tindakan sebegini haruslah diteruskan dan tidak haruslah kita berasa malu dengan cara-cara sedemikian.

‘Mana RM2.6 Bilion’ telah menjadi soal misteri dalam negara kita, yang sehingga kini tiada sesiapa kecuali Najib Razak sendiri yang dapat memberikan jawapan yang paling tepat. Adalah tanggungjawab dan kewajipan bagi ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan sebagai wakil-wakil rakyat yang terpilih untuk memastikan suara rakyat dapat didengari oleh Perdana Menteri sendiri.

Sebenarnya, tayangan plakad ‘Mana RM2.6 Bilion’ merupakan cara yang paling bersopan dalam memastikan persoalan tersebut dapat terus disampaikan kepada Perdana Menteri sebaik sahaja beliau mengakhiri ucapan Bajet 2016 di Parlimen. Jikalau cara ini tidak bersopan, kenapa Ahli Parlimen Pas dari kawasan Pokok Sena dan Rantau Panjang seperti Mahfuz Omar dan Siti Zailah Mohd Yusoff turut berbuat demikian?

Tidak lupa juga ahli-ahli Parlimen Pas, termasuk mereka yang enggan menayangkan plakad ‘Mana RM2.6 Bilion’ kali ini, turut menayangkan plakad di Parlimen untuk membantah GST pada 7 April 2014. Adakah tindak-tanduk ahli-ahli Parlimen Pas pada masa tersebut juga dianggap tidak bersopan?

Ini jelas menunjukkan Hadi Awang dengan konco-konconya masih ingin memeluk Najib Razak, sehingga ke tahap UMNO terkandung dalam hati mereka. Ahli Parlimen Pas dari kawasan Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Nasrudin Hassan dari kawasan Temerloh dan Mohd Khairuddin Aman Razali dari kawasan Kuala Nerus merupakan antara yang jelasnya UMNO sudah terkandung dalam hati mereka.

Pas kini telah kehilangan kewajarannya dalam hati rakyat jelata tak kira apa jenis alasan yang diberikan oleh Hadi Awang dalam menjelaskan keengganan segolongan besar ahli-ahli Parlimen Pas untuk menayangkan plakad bagi menyampaikan suara dan rintihan hati rakyat. Demi UMNO, Pas sanggup menghancurkan Pakatan Rakyat dan semakin menjauhkan diri dengan rakyat jelata.

Biarlah Pas meneruskan hijrahnya untuk mendekati UMNO manakala ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan akan terus perjuangan kami untuk menyuarakan suara rakyat terhadap pelbagai isu, bukan sahaja terhadap isu 1MDB, tetapi juga terhadap isu-isu yang berkaitan dengan GST, kadar inflasi, harga minyak, kenaikan tol dan sebagainya.

Inilah perbezaan ketara di antara Pakatan Harapan dan Pas yang tidak usah kita terus bicara lagi!