Sabtu minggu lalu bekas presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah mengesahkan bahawa ‘derma’ yang diterima masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah disalurkan untuk membantu kempen parti komponen BN pada pilihanraya umum ke-13.
Beliau memberitahu media bahawa Najib telah memaklumkan kepada pemimpin parti-parti komponen BN bahawa mereka akan mendapat bantuan kewangan.
Ini aneh sekali, terutamanya apabila Timbalan Presiden Umno merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin langsung tidak tahu menahu tentang kemasukan derma tersebut.
Tetapi itu tidak penting. Apa yang saya lebih berminat untuk tahu ialah adakah sikap berdiam diri pemimpin MCA terhadap pendedahan Chua Soi Lek itu merupakan isyarat bahawa mengesahkan penerimaan dana terbabit daripada sumber derma kepada Perdana Menteri?
Berapa jumlah sebenar yang telah disalurkan kepada MCA daripada jumlah besar RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri? Adakah ia juga telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi pemimpin MCA atau ia telah masuk ke akaun rasmi parti MCA? Jika ia masuk ke akaun peribadi, akaun siapa yang telah menerima dana tersebut?
Saya memberi tempoh 24 jam kepada pemimpin MCA untuk berterus terang tentang hal ini.
Jika tidak, saya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya akaun parti MCA atau akaun peribadi pemimpin-pemimpinnya disiasat.
Saya juga teringin mahu tahu ke mana perginya dana yang telah didermakan kepada MCA itu?