Sejak akhir-akhir ini setiap jawapan yang diberikan di dalam Parlimen bukan sahaja tidak menyelesaikan persoalan yang telah timbul, bahkan jawapan yang diberikan telah menimbulkan lebih banyak lagi persoalan kepada masyarakat.
Berdasarkan jawapan yang diberikan di dalam parlimen baru-baru ini, Felda telah menyelaraskan satu program komuniti FELDA iaitu Himpunan Warga Felda bersempena sambutan hari Malaysia pada 16 September 2015, bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur.
Program tersebut telah disertai oleh semua NGO di dalam FELDA termasuklah Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), dan Kami Anak FELDA (KAF).
Berdasarkan jawapan yang diberikan dalam parlimen juga, keseluruhan peserta warga FELDA yang menyertai program tersebut dianggarkan seramai 10,000 orang meliputi 10 wilayah FELDA seluruh negara kecuali Wilayah Sabah. Bermakna satu wilayah menghantar 1000 orang dan ini juga menunjukkan bahawa seramai 10,000 orang warga FELDA telah menyertai Himpunan Baju Merah baru-baru ini.
Tetapi, umum mengetahui 16 September 2015 adalah merupakan Himpunan Baju Merah. Adakah Himpunan Warga FELDA sengaja dianjurkan pada hari yang sama untuk ramaikan Himpunan Baju Merah?
Lebih mendukacitakan lagi, perbelanjaan bagi program tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh kewangan badan JKKR dan GPW Gabungan dari semua wilayah terlibat dengan jumlah sebanyak RM925,000. Sepatutnya wang tersebut digunakan untuk kepentingan awam, bukannya untuk kegunaan politik sebelah pihak sahaja.
Tambahnya lagi, berdasarkan jawapan yang diberikan, tujuan Himpunan tersebut adalah untuk melahirkan rasa cinta dan bersyukur atas nikmat yang diterima warga peneroka seiring dengan pembangunan negara.
Apa yang disyukurkan oleh warga FELDA seiring dengan pembangunan negara sebenarnya? Apa yang kita lihat, sebanyak 99.9% daripada 94,219 warga Felda telah membeli 800 saham FGVH dengan harga RM4.45/unit pada 2012. Kini harga saham FGVH hanya tinggal RM1.93/unit sahaja.
Sepatutnya, mereka perlu menganjur satu protes terhadap kerajaan Najib yang telah mengakibatkan mereka mengalami satu kerugian sebanyak RM197 juta! Warga FELDA perlu sedar dan marah akan pengurangan dan kejatuhan harga saham yang amat teruk ini. Bukannya bersyukur!