Skip to content

JAS harus memaparkan dalam laman webnya dua set data iaitu bacaan PM10 dan PM2.5 untuk membolehkan orang awam membuat persediaan yang lebih rapi dan mengelakkan kekeliruan

Saya telah berdiri tiga kali cuba menimbulkan soalan tambahan kepada YB Datuk Ayub Rahmat semasa beliau menjawab soalan berkenaan bencana jerebu dan PM2.5. Bagaimana pun, saya tidak diberi peluang untuk mengemukakan soalan tambahan saya. Soalan-soalan ini tidak dapat ditimbulkan lagi dalam penggal persidangan tahun ini. Untuk mengingatkan diri sendiri, dan rakan-rakan sekalian supaya saling mengingatkan antara kita, saya mencatatkannya dalam FB saya sebagai suatu peringatan dan juga perkongsian. Memandangkan masalah yang sama mungkin berulang pada tahun hadapan dan isu seperti ini mungkin tidak sempat ditimbulkan dalam persidangan penggal akan datang saya juga berharap persoalan-persoalan yang saya timbulkan ini dapat diberi perhatian supaya kita dapat mempertingkatkan usaha dan persediaan menghadapi bencana jerebu.

Kadang-kala kita dapat perhatikan bahawa cuaca nampak cerah tetapi bacaan IPU tinggi mencecah tahap kritikal dan bacaan rendah (normal) walaupun kelihatan sangat kabur. Adakah mesin pemantau kualiti udara telah rosak atau berlaku ralat? Saya tidak menafikan kemungkinan bahawa mesin akan rosak yang ralat. Bagaimanapun, IPU yang diumumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui laman web adalah data berdasarkan min (purata) untuk 24 jam yang lepas sebagai suatu rujukan yang lebih stabil. Oleh yang demikian, bacaan tersebut kadang-kala mengakibat kekeliruan apabila bacaan mesin adalah sangat berbeza dengan keadaan yang dilihat dengan mata kasar.

Untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan khalayak ramai dan membolehkan kita membuat persiapan yang lebih rapi, adakah JAS bersedia mengumumkan bacaan min yang mengikut rujukan 3 jam terdekat selain mengekalkan rujukan 24 jam terdekat?

Ingin saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak JAS yang telah menempatkan unit pemantau bergerak di Kluang semasa negeri Johor ditimpa bencara jerebu untuk beberapa bulan yang lalu. Bagaimana pun, orang awam masih tidak dapat mengetahui bacaan semasa IPU di stesen-stesen bergerak ini kerana laman web JAS hanya memaparkan bacaan di 4 stesen tetap sahaja, iaitu, Larkin Lama, Muar, Kota Tinggi dan Pasir Gudang. Bukankah bacaan yang diperolehi melalui unit-unit bergerak ini juga boleh diumumkan melalui laman web JAS? Apakah masalah atau halangan yang menyebabkan bacaan tersebut tidak dapat diumumkan melalui laman web JAS?

Ramai orang mempertikaikan bacaan yang diumumkan oleh JAS adalah tidak tepat apabila mereka membandingkan bacaan tersebut dengan bacaan yang diumumkan oleh Singapura khasnya apabila IPU di Singapura 220 tetapi IPU di Kluang hanya 150. Mereka tertanya-tanya sama ada bacaan JAS itu telah silap atau Singpura menggunakan peralatan yang lebih canggih? Sebenarnya perbezaan bacaan tersebut disebabkan kedua-dua negara menggunakan parameter yang berbeza, negara kita menggunakan parameter PM10 dan Singapura menggunakan PM2.5. PM2.5 adalah satu piawai yang digunakan untuk menguji zarah yang bersaiz 2.5 mikrometer iaitu zarah yang bersaiz 4 kali ganda lebih kecil berbanding PM10.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan telah memaklumkan bahawa sebanyak 12 daripada 52 stesen sudah mempunyai parameter PM2.5, tetapi bacaan IPU di negara ini masih menggunakan PM10 memandangkan bukan semua stesen mempunyai komponen PM2.5. Saya setuju dengan itu untuk mengelakkan kekeliruan kepada orang awam apabila bacaan yang menggunakan berlainan parameter diumumkan secara bersama. Bagaimana pun, bukankah kita perlu juga memanfaatkan perbelanjaan yang telah dilaburkan itu supaya bacaan PM2.5 juga dapat diketahui orang awam?

Apakah usaha pihak JAS untuk memanfaatkan bacaan PM2.5 yang diperolehi? Sebagai contoh memaparkan dalam laman web JAS sebagai dua set data iaitu bacaan PM10 dan PM2.5 untuk membolehkan orang awam membuat persediaan yang lebih rapi dan mengelakkan kekeliruan?

Segala maklumat berkenaan IPU perlulah berkongsi dengan khalayak ramai untuk membolehkan kami membuat persediaan yang rapi menghadapi segala keadaan yang mungkin berlaku dan menyusun atur aktiviti seharian semasa bencana jerebu.