PSUKPP/21/0353/3 klt.2 (4)
14 Disember 2015
YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai
Menteri Pengangkutan
Kementerian Pengangkutan Malaysia
No. 26, Jalan Tun Hussein, Presint 4,
62100 W.P. Putrajaya
Tel: 03-8000 8000 Fax: 03-8888 0158
Yang Berhormat Dato’ Sri,
BANTAHAN KE ATAS PENGURANGAN BILANGAN FERI YANG BEROPERASI DI NEGERI PULAU PINANG
Adalah saya merujuk kepada kenyataan media Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) melalui The Star Online bertarikh 3 Disember 2015 (Khamis) bertajuk “Penang to run only three ferries from 1 January 2016”.
2. Kerajaan Negeri dukacita dengan kenyataan media tersebut dan membantah sekeras-kerasnya pengurangan bilangan feri yang beroperasi setiap hari dari empat buah feri sekarang kepada tiga buah feri pada tahun 2016. Pengurangan bilangan feri tidak memberi manfaat kepada pengguna dan kepada Penang Port sendiri kerana bilangan penumpang akan terus menurun sejajar dengan pengurangan bilangan feri.
3. Tidak ada alasan kukuh diberikan untuk pengurangan ini kecuali mungkin disebabkan oleh kos operasi yang meningkat sehingga kerugian tahunan mencecah sebanyak RM25 juta! Ini adalah dalam jangkaan kerana macam mana boleh mengurangkan kerugian sekiranya perkhidmatan feri dikurangkan dan tidak ditambah. Hanya dengan menerima pakai konsep “scale” dengan memperbanyakkan perkhidmatan feri barulah kos operasi boleh dikurangkan.
4. Kerajaan Negeri turut membantah perubahan jadual waktu baru pelepasan feri yang pertama pada jam 6.30 pagi berbanding jadual lama yang mana feri yang pertama berlepas pada jam 5.20 pagi sebelum ini. Pelepasan waktu yang lewat akan menyukarkan pengguna dan seterusnya pengguna terpaksa mencari alternatif lain dan tidak menggunakan perkhidmatan feri lagi. Penambahan selang masa juga tidak wajar dilaksanakan kerana perkara ini akan menjadikan waktu menunggu (waiting time) lebih lama.
5. Perkhidmatan feri adalah satu tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang diamanahkan oleh rakyat Pulau Pinang. Pengurangan perkhidmatan feri boleh dianggap sebagai tindakan yang “pecah amanah” yang diberikan oleh rakyat. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak bersetuju dengan pengurangan bilangan feri dari empat buah feri kepada tiga buah feri yang beroperasi setiap hari bermula pada 1 Januari 2016. Penang Port Sdn. Bhd. sewajarnya mencari jalan penyelesaian atau cadangan penambahbaikan agar bilangan penumpang dapat ditingkatkan bukannya dengan mengurangkan bilangan feri atau tempoh masa perkhidmatan yang hanya akan memberi impak yang lebih negatif kelak.
Sekian, terima kasih.
“CEKAP, AKAUNTABILITI, TELUS”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Yang ikhlas,
LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang
s.k
Pengerusi,
Penang Port Sdn. Bhd.,
No. 1, Pesara King Edward,
10300 George Town,
Pulau Pinang