Rakyat Malaysia patut risau bagaimana Kerajaan Malaysia mengendalikan hutang-hutangnya kerana rakyat Malaysia merupakan pemiutang-pemiutang terbesarnya. Wang simpanan yang kita kumpulkan melalui peluh lelah kita ini akan lenyap sekiranya Kerajaan tidak dapat membayar hutangnya atau Kerajaan mula mencetak lebih banyak wang Ringgit Malaysia secara berleluasa.
Kerajaan Barisan Nasional acap kali mendabik dada dengan mengatakan bahawa rakyat tidak perlu bimbang mengenai hutang negara kerana hanya 3% atau RM18.8 billion adalah hutang luar negara manakala 97% atau RM608.7 billion merupakan hutang domestik. Kerajaan Barisan Nasional juga kerap menyatakan bahawa negara tidak akan menjadi negara bankrap.
Di dalam jawapan bertulis kepada saya di Parlimen, Menteri Kewangan menyatakan bahawa hutang domestik bernilai RM608.7 billion yang dihutang oleh Kerajaan adalah dihutang kepada institusi-institusi berikut :
| Pemiutang | Nilai (RM bilion) | Peratusan(%) | |
| (i) | Kumpulan Wang Simpanan Pekerja KWSP | 127.6 | 20.3 |
| (ii) | Unit Amanah Pencen | 20.3 | 3.2 |
| (iii) | Institut Perbankan | 148.8 | 23.7 |
| (iv) | Syarikat-syarikat Insurans | 30.3 | 4.8 |
| (v) | Institusi Kewangan Pembangunan | 22.8 | 3.6 |
| (vi) | Lain-lain (termasuk Bank Negara Malaysia) | 78.8 | 12.6 |
| Jumlah besar: | 608.7 | 97% |
Wang-wang yang dinyatakan di atas adalah wang simpanan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia secara langsung akan mengalami kerugian yang besar sekiranya Kerajaan Barisan Nasional tidak mampu membayar semula hutang-hutang tersebut. Memang benar, kerajaan tidak akan jadi bankrap kerana ia mempunyai kuasa mencetak wang dengan lebih banyak untuk membayar hutang-hutangnya. Namun jika ini berlaku keadaan nilai matawang Ringgit Malaysia akan menurun. Wang simpanan rakyat akan ‘hilang’ kerana wang mereka tidak bagitu bernilai lagi.
Rakyat Malaysia merupakan pemiutang-pemiutang terbesar kepada kerajaan maka haruslah kita senantiasa berwaspada menuntut ketelusan daripada Kerajaan dalam pengurusan wang negara. Kita tidak mahu negara kita berakhir seperti negara Zimbabwe, yang pernah dipuji oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sebuah negara membangun yang berjaya, tetapi apabila negara tersebut mula mencetak matawang negara secara berleluasa akhirnya matawang negara tersebut tidak lagi bernilai.
Hari ini, matawang Zimbabwe merupakan satu-satunya matawang yang tidak ada nilai di negaranya sendiri.
Kerajaan Persekutuan mempunyai hutang sebanyak RM627.5 billion. Semua usaha dan kerja keras kita menyimpan wang akan lenyap sekiranya kerajaan menambah hutang ia tidak dapat mrmbayar balik atau jika ia mencetak matawang dengan berleluasa untuk menyelesaikan hutang-hutangnya.