Kalau kita menyambut akhir tahun 2014 dengan tragedi banjir merah yang melanda Kelantan dan sebahagian besar kawasan Pantai Timur, penutup tahun 2015 pula menyaksikan kita menahan geram dengan kerakusan pengusaha bauksit di sekitar Kuantan, Pahang.
Umum menyedari bahawa Kuantan dan kawasan sekitarnya sudah lama berselimut dalam debu merah hasil pelombongan bauksit, bahan mentah yang perlu diproses untuk menghasilkan aluminium.
Apa yang aneh ialah sehingga kini pun masih tidak kelihatan sebarang tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas pencemaran bauksit di kawasan-kawasan terbabit. Sehinggakan telah tersebar luas tindakan penduduk setempat menuntut sendiri keadilan bagi pihak mereka dengan membakar lori-lori bauksit tersebut.
Terbaru, kelihatan air sungai pun sudah bertukar merah, dipercayai akibat daripada pencemaran bauksit yang tidak terkawal. Lebih aneh lagi, Ahli Parlimen Pekan merangkap bekas Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak langsung tidak memberi sebarang komen mahupun mengecam pencemaran ini.
Siapa sebenarnya dalang di sebalik pencemaran bauksit ini? Besar sekali pengaruh dan kuasanya sehinggakan tiada yang dapat membendung nafsu serakahnya menjarah bumi Pahang.
Saya dan rakan-rakan DAP pastinya sedia menyambut seruan Ahli Parlimen Kuantan, Saudari Fuziah Salleh sekiranya perlu digerakkan orang ramai untuk mengadakan protes besar-besaran membantah tindakan rakus pihak-pihak tertentu mengaut kekayaan bumi Pahang tanpa mempedulikan kesan buruknya terhadap rakyat dan alam sekitar.
Sebut saja bila dan di mana. Kita telah berhimpun membantah Lynas. Apalah sangat berhimpun membantah pengusaha bauksit.