Apakata jikalau dicadangkan supaya semua anggota Polis Diraja Malaysia yang gagal menurunkan berat badan ke suatu piawaian yang ditentukan oleh agensi keselamatan tersebut diturunkan pangkat? Saya mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menegaskan bahawa semua anggota polis yang melebihi berat badan yang ditentukan agar melupai impian untuk dinaikkan pangkat. Ini termasuk Ketua Polis Negara sendiri.
Kenyataannya kelakar dan semata-mata menganggap rakyat Malaysia semua bodoh. Khalid mengatakan anggota polis yang gagal menurunkan berat badan tidak akan ditawarkan untuk dinaikkan pangkat dan ini termasuk dia sendiri. Saya turut berasa hairan bahawa adakah terdapat apa-apa jawatan di dalam agensi itu yang lebih tinggi daripada jawatan Ketua Polis Negara.
Kenyataan Khalid sepatutnya diterbalikkan iaitu sesiapa yang gagal menurunkan berat badan wajib diturunkan pangkat. Walaupun tidak setuju sepenuhnya dengan Khalid, saya berasa gembira kerana sekurang-kurangnya beliau tahu apakah masalah dalaman PDRM walaupun lambat. Hanya caranya kurang tepat. Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu melakukan sesuatu lebih drastik bagi mengekang peningkatan jumlah kes jenayah di negara ini. Ia berikutan kajian yang dilakukan perunding bebas Frost & Sullivan pada tahun lalu.
Dalam kajian itu, ia mendedahkan hanya 10 peratus daripada rakyat Malaysia percaya bahawa kadar jenayah menunjukkan penurunan, manakala 40 peratus menganggap tiada perbezaan dan baki selebihnya beranggapan kadar jenayah semakin meningkat.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu membuat rombakan di seluruh agensi keselamatan itu.
Mengikut piawaian Interpol, sesebuah negara memerlukan nisbah 1 polis kepada 250 rakyat. Masalah kekurangan tenaga kerja dalam profesion polis tidak lagi dihadapi negara ini kerana Malaysia mempunyai kira-kira 130,115 anggota polis iaitu bersamaan nisbah 1 anggota polis kepada 230 rakyat yang jauh lebih baik daripada piawaian Interpol.
Soalnya mengapa kadar jenayah meningkat. Isu ini amat membimbangkan dan untuk mengatasinya, PDRM perlu buat rombakan di seluruh agensi keselamatan itu.
Lebih kurang 10 peratus sahaja anggota polis yang berdepan dengan rakyat.
Sembilan peratus daripadanya pula terdiri daripada anggota cawangan khas yang selalu mengintip ahli politik pembangkang.
Yang lain mana…? kita faham ada banyak jabatan lagi tapi adakah angka 10 peratus yang bertugas di luar cukup untuk menangani kadar jenayah yang meningkat? Rombakan yang menyeluruh diperlukan supaya lebih ramai anggota polis dikerah untuk membanteras jenayah.