Skip to content

BN harus guna “GST Selamatkan Malaysia” sebagai tema manifesto PRU-14

Saya berasa cukup kesal atas kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan perlaksanaan GST dapat menyelamatkan ekonomi negara.

Kenyataan tersebut juga menunjukkan bahawa Kerajaan Barisan Nasional langsung tidak mengetahui dan memahami apa yang sedang berlaku terhadap rakyat yang semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya selepas perlaksanaan sistem cukai GST.

Manifesto BN ketika PRU Ke-13 yang bertema “Janji Ditepati” menekankan bahawa jika Barisan Nasional terus diberi mandat, kerajaan BN akan menangani masalah kos sara hidup rakyat. Pada masa yang sama, dalam manifesto tersebut, tiada satu perkataan GST ataupun perlaksanaan sistem GST berani disebut. Ia menunjukkan bahawa BN pada masa itu amat khuatir GST menyebabkan kehilangan sokongan rakyat.

Memandangkan Perdana Menteri kini begitu berkeyakinan serta bangga dengan perlaksanaan GST yang kononnya dapat menyelamatkan Malaysia, saya rasa sudah tiba masa untuk Barisan Nasional menggunakan Manifesto “GST Selamatkan Negara” pada Pilihan raya Negeri Sarawak dan Pilihan raya Umum yang akan datang.

Jika semua poster ataupun bahan-bahan kempen calon BN dicetak dengan perkataan calon BN sokong penuh perlaksanaan GST, saya yakin semua rakyat yang terpaksa membayar 6% cukai GST akan menolak BN dan sokongan kepada BN sebelum ini akan merosot sekurang-kurangnya 6%.