Skip to content

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sempena Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) kerana berjaya merealisasikan penganjuran majlis ini yang menjadi medium pertemuan di antara Pemimpin Tertinggi Kerajaan Negeri bersama warga perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tahun 2015 telahpun melabuhkan tirainya. Tahun 2016 ini merupakan tahun yang penting untuk negeri Pulau Pinang kerana tahun ini adalah tahun transformasi. Apabila menyentuh dengan transformasi, apakah maksudnya? Apabila kita imbas kembali pencapaian 7 tahun ini untuk Pulau Pinang, kita berbangga dengan pencapaian bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi juga pembuatan dan perkhidmatan.

Pelaburan yang masuk ke negeri telah naik sebanyak 93% dalam tempoh 7 tahun bermula 2008-2014 kepada RM48.2 bilion berbanding dengan tempoh 7 tahun yang sama pada tahun 2001-2007 sebanyak RM24.9 bilion. Pelancongan juga naik mendadak dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mencapai kapasiti penuh sebanyak 6.5 juta, 5 tahun lebih awal daripada jangkaan 2020. Selain daripada itu, penumpang yang naik ke Bukit Bendera telah pun mencecah 1.58 juta penumpang tahun lepas melebihi sasaran 1.45 juta penumpang menjadikan Bukit Bendera sebagai salah satu pusat peranginan negeri yang paling popular di Malaysia.

Prestasi baik kedua-dua sektor pelaburan dan pelancongan ini dibolehkan kerana kejayaan kita mengatasi masalah kebersihan dan keselamatan. Pulau Pinang bukan lagi “Negeri Darul Sampah” seperti yang dikenali dahulu. Ini semua adalah usaha daripada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan Kerajaan Negeri sendiri. Tetapi, ini belum mencukupi kerana kita masih berhasrat untuk menjadi negeri terbersih di Malaysia. Hal ini juga sama dengan isu keselamatan – atas usaha pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pemasangan CCTV dan kepolisan masyarakat dengan Pasukan Peronda Sukarela (PPS); yang akan dinamakan semula sebagai Badan Peronda Sukarela (BPS) tidak lama lagi, memperlihatkan penurunan kadar jenayah yang ketara. Namun, kita tidak boleh berpeluk tubuh. Kita perlu melaksanakan pelbagai kaedah dengan kerjasama dan gabungan semua pihak berkuasa berkaitan dalam usaha kita menuju ke arah Negeri paling selamat di Malaysia.

Pada masa yang sama, pencapaian cemerlang Kerajaan Negeri turut dibayangi masalah kemerosotan ekonomi yang melanda negara kita. Kerajaan Negeri dengan sedaya upayanya cuba menjauhi wabak kemerosotan ekonomi ini daripada Negeri Pulau Pinang. Namun, perkara ini adalah sukar dan mustahil kerana Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Malaysia. Maka, tempiasnya pasti akan turut kita rasa. Justeru, Kerajaan Negeri berusaha dengan sedaya upaya melaksanakan langkah-langkah bagi menghalang wabak kemerosotan atau kemeruduman ekonomi negara menjangkiti Pulau Pinang.

Untuk itu, Kerajaan Negeri perlu bersiap sedia mendepani tiga (3) cabaran utama iaitu:

i) Kesesakan Lalulintas

Kerajaan Negeri sedar bahawa terdapat banyak keluh kesah daripada rakyat Negeri ini tentang masalah kesesakan lalulintas. Kerajaan Negeri tidak boleh menagih janji Kerajaan Persekutuan yang kononnya mahu membina LRT untuk Pulau Pinang. Hingga kini, janji hanya tinggal janji. Daripada menanti buah yang tidak luruh-luruh, Kerajaan Negeri mengambil inisiaif sendiri melalui Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang bernilai RM27 bilion yang akan mula dilaksanakan tahun ini. Komponen pelaksanaan PIP melibatkan LRT, kereta kabel dan teksi air. Ini akan menjadi titik tolak transformasi sistem lalulintas dan pengangkutan awam Negeri Pulau Pinang. PIP akan memungkinkan tahun 2016 menjadi tahun transformasi negeri ini.

ii) Wabak Denggi

Kerajaan Negeri turut memandang serius masalah wabak denggi yang dikhuatiri akan terus menular ke peringkat yang lebih merbahaya lagi. Laporan yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri agak membimbangkan apabila lapan (8) kes kematian dicatatkan pada bulan pertama 2016 sahaja, berbanding 19 kes bagi keseluruhan tahun 2015. Justeru, Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan lagi usaha memberikan kesedaran tentang bahaya denggi hingga ke peringkat akar umbi. Penerangan yang jelas dan komprehensif perlu diberikan dan dimulakan kepada semua peringkat rakyat. Adalah lebih baik mencegah dari mengubati. Cegah sebelum terlewat.

iii) Pengurusan Berpandukan Proses (Process Driven)

Prestasi Pegawai Awam Kerajaan Negeri sebenarnya turut mempunyai impak kepada prestasi ekonomi Negeri Pulau Pinang. Kita perlu menuju ke arah sistem pentadbiran berasaskan hasil (outcome based). Justeru, Pegawai Awam Kerajaan Negeri juga perlu memberikan perkhidmatan bertaraf antarabangsa bagi merealisasikan impian kita menjadi Negeri bertaraf antarabangsa.

Oleh itu, kita perlu mentrasformasikan urustadbir kita kepada pengurusan berpandukan proses (process driven) iaitu:

“The expression “Process Driven” means having the ability to perform a kind of work independently by following an associated process strictly and persistently. This ability requires doing the work in a consecutive manner, without skipping, adding or modifies steps and also without a need for external control. For example, an employee who has the ability of being process-driven will do his/her job explicitly and step by step, without direct involvement of the supervisor. The organization estimates available resources, identifies needed inputs and determines a process flow that describes how the activities need to consume resources to transform inputs into outputs.”

Dengan kata mudahnya, setiap pekerja mempunyai keupayaan melaksanakan kerjanya tanpa perlu ada arahan atau panduan daripada orang atasannya mengikut peraturan yang sedia ada. Ini sekaligus akan membolehkan Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi perkhidmatan awam yang lebih maju di Malaysia, setanding dengan syarikat-syarikat GLCs dan korporat terkemuka di Malaysia.

Kelancaran dalam pelaksanaan perkhidmatan turut berkait dengan satu lagi aspek yang penting iaitu integriti yang telah menjadi asas kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kita sudah membuktikan selama 8 tahun ini bahawa amalan pentadbiran yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) membolehkan kita mencapai atau melihat hasil yang membanggakan. Ini merupakan perkara asas dan utama dalam memastikan kredibiliti kita sebagai penjawat awam di negeri Pulau Pinang tidak terjejas dan segala dasar Kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sistem urustadbir memainkan peranan penting bagi kejayaan dan kecermerlangan pelaksanaan dasar dan polisi Kerajaan Negeri. Saya selaku Ketua Menteri tidak mampu untuk turun ke padang melihat semua kerja yang dilaksanakan oleh Pegawai Perkhidmatan Awam dari pelbagai Jabatan dan agensi yang ada. Di sinilah pentingnya sistem pentadbiran yang holistik dan berkesan serta kerjasama Pegawai Perkhidmatan Awam dalam melaksanakan sistem tersebut.

Misalnya, permohonan proses untuk pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dipermudahkan dan hanya memerlukan tempoh tiga (3) bulan untuk mendapat kelulusan. Jika kita lihat rekod pada tahun 2008, tiada langsung sangkar ikan di tanah sawah tetapi apabila kita ambil alih, kita mudahkan dan mantapkan proses permohonan, sehingga hari ini, kita sudah ada lebih kurang 300 sangkar ikan di tanah sawah. Daripada kelulusan yang diberikan ini, Kerajaan Negeri mampu memperolehi hasil sekitar RM1 bilion hingga RM1.2 bilion.

Bayangkan sekiranya banyak lagi proses urus tadbir Kerajaan Negeri dipermudah dan dimantapkan, maka lebih banyak hasil akan kita perolehi. Ini yang saya maksudkan tadi dengan sistem pentadbiran berasaskan hasil (outcome based).

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kerajaan Negeri telah mencatatkan lebihan Belanjawan sungguhpun tidak mengenakan GST untuk perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan untuk rakyat. Lebihan Belanjawan terkumpul sepanjang 7 tahun daripada 2008-2014 sebanyak RM507.12 juta jauh melebihi lebihan Belanjawan 50 tahun sebelum ini (1957-2007). Perincian Lebihan Belanjawan yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut :

a) 2008 – RM87.99 juta;
b) 2009 – RM77.34juta;
c) 2010 – RM33.54 juta;
d) 2011 – RM138.31 juta;
e) 2012 – RM114.47 juta;
f) 2013 – RM1.3 juta; dan
g) 2014 – RM54.17 juta.

Semua ini dapat dijalankan dan ditampung oleh Kerajaan Negeri kerana kami mampu berbuat demikian dengan lebihan Bajet setiap tahun. Kerajaan Negeri ada lebihan belanjawan sungguhpun tidak mengenakan GST kerana kita telah mengamalkan pentadbiran bersih dan anti rasuah. Ada pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa Kerajaan Negeri mencatat lebihan Belanjawan kerana kita tidak menjual tanah. Itu adalah satu fitnah jahat kerana Kerajaan Negeri hanya jual 106 ekar tanah untuk RM 1.1 bilion sedangkan Kerajaan BN sebelum ini telah menjual 3,661 ekar tanah untuk RM1 billion sahaja. Pulangan kurang diperolehi BN sungguhpun menjual tanah 35 kali ganda lebih besar kerana ia tidak dijual secara tender terbuka seperti Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sekarang.

Justeru itu, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Mokhtar Bin Mohd Jait serta Ketua Bahagian Belanjawan, Puan Hashimah Binti Mohamed Hashim di atas pencapaian cemerlang ini.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Dato’ Seri Farizan Bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri kerana PSUK berjaya meneruskan kecemerlangan dengan memperolehi Sijil Amalan 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk tahun yang kelima berturut-turut, menerima Anugerah MyGDI Kebangsaan sempena Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan Ke-6 Kategori Jabatan Negeri dan memenangi tempat kedua Anugerah Pengurusan Rekod Terbaik Peringkat Pejabat Setiausaha Kerajaan sempena Sambutan Ulang Tahun Arkib Negara Ke-57.

Kerajaan Negeri juga merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana Taman Bandaraya, MBPP telah memenangi Anugerah Best Website Award di General Assembly Tourism Promotion Organisation Pacific di Sanya, China pada tahun 2015.

Ucapan tahniah turut ditujukan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana telah disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama telah berjaya mendapat lima (5) persijilan Sistem Pengurusan Berteraskan Kualiti iaitu Sistem Pengurusan Kualiti (QMS 9001:2008), Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS 14001:2004), Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS 18001:2007), Sistem Pengurusan Tenaga (EnMS 50001:2011) dan Sistem Pengurusan Persekitaran Berkualiti (QEMS/5S).

Tuan-tuan dan puan-puan,

Di sini saya ingin melahirkan penghargaan ke atas sumbangan daripada semua warga Perkhidmatan Awam negeri ini. Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membela mana-mana pegawai yang menjalankan tugas mengikut undang-undang termasuk memberi ganjaran dan bayaran galakan dan juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggari peraturan termasuk mereka yang tidak setia.

Ingatlah yang kita berkhidmat dan berjanji untuk taat dan setia kepada Kerajaan Negeri. Kesetiaan tidak boleh dibelah bahagi. Saya yakin bahawa semua warga Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang boleh mencapai matlamat dan sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Akhir kata, semoga semua penjawat awam di negeri ini akan terus menyemarakkan dan melaksanakan tanggungjawab berlandaskan C.A.T. dalam usaha memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri ini. Sewajarnya sebagai penjawat awam yang diamanahkan untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan, tuan-tuan dan puan-puan harus lebih peka, bertanggungjawab dan bertindak selangkah di hadapan.

Sekian, terima kasih.