Skip to content

BN tipu lagi dalam isu Sekolah Tamil di Taman Kaya

BN Tipu lagi. Apa sudah jadi dengan janji untuk membina sebuah sekolah Tamil di Taman Kaya, Taiping. Kerajaan Perak telah meluluskan sebidang tanah kerajaan untuk membina sebuah sekolah Tamil. Ketika itu, Dato Veerasingam merupakan penasihat khas kepada Menteri Besar Perak.  Dato Veerasingam telah membuat pengumuman dan menyerahkan surat kelulusan itu dalam satu majlis keramaian di Taiping.

Taman Kaya mempunyai lebih kurang 2000 keluarga India yang terpaksa menghantar anak-anak mereka ke St Theresa Convent yang berada 6 km daripada kawasan kediaman itu.

Tanah seluas 3.4 ekar di Jalan Sungai Mas telah diluluskan untuk membina sebuah sekolah Tamil baru untuk menggantikan atau mengalih SJKT Ladang Holyroad di Selama. Sekolah lama itu menhadapi masalah kekurangan pelajar. Satu jawatankuasa tindakan telah ditubuhkan untuk menangani isu pemindahan sekolah ini. Tetapi, selepas tanah diluluskan tidak ada apa-apa tindakan selanjutnya dilakukan oleh mana-mana pihak. Adakah semua ini satu lagi gimik Barisan Nasional untuk menipu masyarakat India.  

Pengerusi Jawatankuasa Tindakan ketika itu pernah memuji  Menteri Besar Perak kerana menunaikan janji yang dibuat ketika Pilihanraya Kecil Bukit Gantang pada tahun 2009. Kenapa tidak membuka mulut sekarang? Takut kepada kerajaan Barisan Nasional? Atau berasa malu dengan gelagat pemimpin-pemimpin itu? Terbukti  Barisan Nasional hanya membuat janji kosong ketika Pilihanraya Kecil Bukit Gantang.

Isu sekolah ini telah dibawa ke Mesyuarat EXCO Negeri Perak oleh Menteri Besar Perak  Datuk Seri Abdul Kadir pada 16 Mei 2012. Tetapi, saya tidak tahu samada  beliau sudah lupa  atau pura-pura lupa tentang hal ini. Tahniah diucapkan kepada Menteri Besar Perak  yang melantik Penasihat-penasihat Khas yang sentiasa tidur dan melupakan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

Tanah baru diluluskan di kawasan Taman Kaya, Taiping. Sedihnya, selepas tanah diluluskan, semua pemimpin-pemimpin yang hanya mencari publisiti murahan telah balik masuk ke dalam kelambu. Mereka masih tidur nyenyak seolah-olah sekolah itu selesai dibina. Sekali lagi, tahniah dan syabas kepada Menteri Besar Perak yang pandai memilih penasihat-penasihat yang terlalu prihatin terhadap masalah rakyat khususnya   masyarakat India.  Saya juga ingin mengingatkan Menteri Besar Perak bahawa beliau sendiri telah merasmikan tapak baru sekolah tersebut pada bulan Mac 2013.  Ini merupakan gimik  atau muslihat beliau untuk memenangi hati masyarakat India menyokong Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Ke 13. Selepas Pilihanraya Umum ke 13, setalah Barisan Nasional menang di  Negeri Perak, mereka sudah tunjuk belang.

Adakah wang  peruntukan sebanyak RM2.5 juta yang dijanjikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah sampai? Saya rasa perkara ini juga telah dibawa kepada perhatian Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Kamalanathan. Seperti biasa, beliau juga tidak pernah mengambil tahu isu-isu penting mengenai sekolah-sekolah Tamil di negara kita.

Saya akan membangkitkan isu sekolah ini di Dewan Rakyat dalam sesi akan datang yang bermula pada 7 Mac 2016.