Saya berasa kecewa dan mengecam sekeras-kerasnya keputusan prosiding disiplin Universiti Malaya (UM) yang menyabitkan kesalahan terhadap enam orang mahasiswa UM (UM6) disebabkan bantahan mereka terhadap pelaksanaan kuota internet di universiti tersebut.
Bantahan UM6 dibuat setelah kajian respon mahasiswa UM mendapati bahawa hampir 98% mahasiswa TIDAK BERSETUJU dengan pelaksanaan kuota tersebut.
UM6 yang terdiri daripada Nur Hananie Chow Abdullah, Suhail Wan Azahar, Fahmie Nuaiman, Muhammad Luqman, Ho Chi Yang, Chua Hun Chi telah disabitkan kesalahan selepas dibicarakan oleh prosiding disiplin pada 15 Februari 2016.
Sebelum ini, pada Disember 2014, satu lagi kumpulan mahasiswa UM yang dikenali sebagai UM8 juga telah disabitkan kesalahan semata-mata kerana menjemput bekas Ketua Pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan syarahan di UM.
Keputusan prosiding disiplin adalah tidak adil, tidak berasas, tidak demokratik, salah dan patut diketepikan.
Pemimpin borek pengikut rintik
Tindakan ahli-ahli prosiding disiplin tersebut amat mengecewakan bagi sebuah universiti perdana Malaysia.
Namun rakyat tidak terkejut dengan gelagat pihak pengurusan universiti tersebut. Mereka hanya mengikut teladan orang atasan mereka iaitu kerajaan Malaysia yang juga tidak membenarkan rakyat bersuara mengkritik kerajaan.
Pada tahun 2015 sahaja, 91 orang individu telah disiasat, didakwa ataupun disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 semata-mata kerana menyatakan perkara yang tidak sedap didengari kerajaan. Terbaru Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, seorang pemimpin UMNO sendiri, telah dilucutkan jawatan kerana kuat mengkritik Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Justeru, apabila pihak universiti menyabitkan UM6 bersalah, ia bagaikan pemimpin borek, pengikut rintik.
Apa pula tindakan terhadap kepincangan urus tadbir di UM?
Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2014 telah mengenalpasti beberapa masalah dalam urus tadbir pihak UM yang antara lain termasuk:
- Sebanyak 379 perolehan pihak universiti berjumlah RM3.26 juta tidak melalui proses perolehan pelawaan sebut harga e-Procurement atas sebab yang begitu mengecewakan bagi universiti tertua negara, iaitu, kurang memahami sistem dan kekangan masa;
- Kelewatan lebih dua tahun projek pembinaan bangunan bengkel dan makmal menyebabkan UM terpaksa menanggung kerugian tambahan RM1.3 juta;
- Aset universiti bernilai RM13 juta tidak dapat dikesan;
- Perbelanjaan sebanyak RM610,835 untuk penganjuran program tanpa mematuhi tatacara perolehan.
Apa pula hasil siasatan dan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas masalah-masalah ini? Adakah Naib Canselor dan pengurusan tertinggi UM telah dihadapkan ke prosiding disiplin kerana kepincangan dalam pengurusan sehingga menyebabkan UM kehilangan puluhan juta ringgit?
Jangan hanya cepat dan hebat menghukum mahasiswa semata-mata kerana mereka mengetengahkan isu yang akan menjejaskan mereka sendiri di universiti tetapi pihak yang menyebabkan kerugian puluhan juta ini pula tidak dikenakan apa-apa tindakan.