Skip to content

Jabatan Kebajikan Masyarakat harus sasarkan ‘Sedekah Sifar’ membantu kanak-kanak dan OKU miskin

Kerajaan harus memberi perhatian serius dalam menangani isu derma haram dan eksploitasi manusia terutamanya kanak-kanak dan warga kelainan upaya untuk meminta sedekah. Isu ini masih berlaku walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan mahupun NGO-NGO tertentu. Saya berasa risau masalah ini akan menjadi lebih ketara apabila ekonomi negara semakin buruk.

Pelbagai pihak akan mencari peluang atau mengambil kesempatan untuk mengekploitasi kanak-kanak atapun orang kurang upaya yang miskin untuk kepentingan mereka. Golongan miskin ini akan menjadi mangsa sindiket yang akan menjadikan mereka peminta sedekah. Saya menegaskan disini bahawa kerajaan harus lebih berhati-hati dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang. Operasi dan penguatkuasaan harus ditingkatkan supaya gejala ini tidak menular dikalangan masyarakat kita.

Mengikut satu statistik, seramai 391 orang kanak-kanak yang didapati mengutip dana atau meminta sedekah di tempat awam di seluruh negara diselamatkan dalam tempoh 2008 hingga 2014. Kenyataan ini dibuat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.
Beliau berkata, kanak-kanak itu diselamatkan di bawah Seksyen 17 (1)(k) Akta Kanak-Kanak 2001. Ini adalah tindakan yang baik dan perlu dipuji.

Walau bagaimanapun, saya ingin mengetahui kekerapan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi mengutip dana atau meminta sedekah di tempat awam.  Kita tidak hanya menjalankan operasi secara ad-hoc apabila masalah ini timbul di permukaan. Jabatan kebajikan lain dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti PDRM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Agensi AntiDadah dan Batana Imigresen harus menjalankan operasi terancang dengan lebih kerap untuk membendung masalah ini. Kita harus mempunyai sasaran ‘Sedekah Sifar’ di negara kita. Semua pihak termasuk orang awam harus mengambil inisiatif untuk membantu agensi-agensi kerajaan membenteras kegiatan haram ini.

Kerajaan telah menubuhkan Petugas Khas yang merangkumi  pelbagai agensi yang diketuai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menangani masalah ini. Sejauh manakah pihak Petugas Khas ini berkesan dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan? Berapakah kanak-kanak dan OKU yang berjaya diselamatkan sepanjang tahun 2015? Berapakah orang  yang didapati mengeksploitasi golongan ini telah disiasat dan didakwa di bawah seksyen 32 Akta Kanak-kanak 2011.