Skip to content

Apakah langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian kanak-kanak ?

Kematian kanak-kanak adalah satu fenomena yang berlaku di seluruh dunia. Walaupun kematian kanak-kanak bukanlah satu masalah yang amat serius di negara kita, tetapi kejadian-kejadian sedemikian sering juga berlaku. WHO mengkelaskan Malaysia antara negara dengan kadar kematian kanak-kanak bawah 5 tahun yang sangat rendah.

Kadar kematian di bawah umur 5 tahun adalah petunjuk penting kesejahteraan kanak-kanak sesebuah negara. Menurut laporan The State of the World’s Children 2014 daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia berada di tangga 141 daripada 194 negara dan kawasan di dunia.

Kedudukan negara-negara dalam laporan itu berdasarkan pengisian di mana kadar kematian bawah lima tahun yang paling tinggi berkedudukan di hadapan dan yang paling rendah di belakang. Kedudukan Malaysia adalah lebih baik daripada negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Tambahan pula, kadar kematian bawah lima tahun di Malaysia telah berkurangan daripada 17 peratus dalam 1990 kepada sembilan peratus dalam 2012, kadar kematian bayi (bawah satu tahun) juga telah berkurangan daripada 14 peratus dalam 1990 kepada tujuh peratus dalam 2012. Kadar kematian bayi dan kanak-kanak Malaysia pada 6.3 dan 8.1 masing-masing setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 2005.

Untuk mengurangkan kadar kematian kanak-kanak ini kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang baik dan efektif. Kerajaan juga telah mensasaran untuk mencapai matlamat MDG 4 Malaysia iaitu kadar kematian kanak-kanak bawah 5 tahun pada tahap di bawah 5.6 kematian setiap 1000 kelahiran hidup pada tahun 2015. Adakah sasasran itu telah dicapai? Jika tidak kenapa?

Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) telah ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin dunia pada tahun September 2000. MDG telah diperkenalkan semasa Persidangan Kemuncak Milenium Bangsa-bangsa Bersatu di New York. Ia terdiri daripada 8 petunjuk utama yang merupakan agenda nasional.

Malaysia telah memberi komitmen ke arah mencapai kesemua petunjuk MDG tersebut. Sasaran ini bertujuan mengurangkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak 2/3 dari kadar pada tahun 1990.

Apakah langkah-langkah spesifik yang telah diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengurangkan kadar kematian neonatal (0 -27 hari) kerana kumpulan ini menyumbangkan 50% dari jumlah kematian kanak-kanak bawah 5 tahun.

Masih banyak lagi usaha dan kerja yang perlu dilakukan. Kebanyakan kematian ini boleh dicegah, dengan perkembangan teknologi perubatan dan kemudahan-kemudahan yang canggih. Kita tidak boleh membiarkan nyawa kanak-kanak hilang sebegitu rupa dalam jumlah yang besar.

Walaupun kadar kematian kanak-kanak telah jatuh dengan ketara di semua negeri di Malaysia, ruang perbezaan masih wujud antara negeri-negeri yang melambangkan tahap pembangunan yang berbeza. Di Semenanjung Malaysia, kematian kanak-kanak adalah lebih rendah di negeri-negeri pantai barat dan lebih tinggi bagi negeri-negeri pantai timur yang kadar kemiskinannya juga lebih tinggi.