Kerajaan UMNO Barisan Nasional telah merosakkan ekonomi negara. Strategi-strategi yang dilaksanakan tidak memberi kesan yang positif terhadap pemulihan ekonomi. Rakyat sudah merasakan keperitan hidup kerana mengalami tekanan yang berterusan sejak lebih 2 tahun yang lalu. Pembaziran, pemborosan, kebocoran dan rasuah merupakan antara faktor-faktor penting yang menyebabkan ekonomi negara kita runtuh pada hari ini.
Selain itu, keyakinan negara-negara asing terhadap pemimpin-pemimpin negara kita juga amat buruk dan memberi kesan yang negatif terhadap ekonomi negara kita. Skandal-skandal besar seperti penyelewengan 1MDB dan kemasukan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri telah mencemarkan nama negara kita di arena antarabangsa. Hutang negara yang terlampau tinggi juga turut menjejaskan kestabilan ekonomi negara. Dalam pada itu, keruntuhan nilai matawang ringgit Malaysia juga memberi kesan yang amat buruk kepada negara kita.
Memang tidak dapat dinafikan banyak pengilang-pengilang besar sudah mula mengulung tikar kerana polisi-polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan amat merugikan mereka. Pembuangan kerja di pelbagai sektor kerap berlaku baru-baru ini. Ini akan meningkatkan kadar pengangguran di dalam negara. Cadangan kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh juga akan memberi kesan yang negatif kepada rakyat tempatan terutamnya dari segi peluang pekerjaan dan gaji.
Dalam pada menghadapi masalah-masalah ini, rakyat negara kita didera oleh kerajaan dengan pelaksanaan GST. Cukai ini diperkenalkan pada 1 April 2015 dan memberi impak yang amat negatif kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Kerajaan melaksanakan GST untuk membantu pentadbiran kerajaan UMNO Barisan Nasional yang lemah menguruskan ekonomi negara. Untuk melepaskan diri, kerajaan UMNO Barisan Nasional telah menjadikan rakyat sebagai mangsa. Beban yang sepatutnya ditanggung oleh kerajaaan telah dipindahkan kepada rakyat. Rakyat berasa amat kecewa dengan sikap kerajaan UMNO Barisan Nasional yang langsung tidak prihatin dengan beban hidup mereka.
Kerajaan UMNO Barisan Nasional menjadikan BR1M sebagai alasan membantu golongan miskin menangani isu GST. Pada hemat saya, BR1M bukanlah penyelesaian untuk GST. Adakah kerajaan sanggup membatalkan GST jika rakyat tidak mahu BR1M? Saya pasti kerajaan tidak akan berbuat demikian. Ini adalah kerana keuntungan yang diperolehi daripada GST adalah jauh lebih tinggi daripada pembayaran BR1M kepada rakyat miskin.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin merosot dan rakyat tertekan dengan beban yang melampau, kerajaan harus mengambil tindakan prihatin untuk meringankan tanggungan rakyat. Saya mencadangkan bahawa kerajaan harus menurunkan GST pada kadar 0% secepat mungkin untuk membantu seluruh rakyat Malaysia. Jika kerajaan tidak mahu berbuat demikian, maka GST itu sendiri akan menjadi paku terakhir untuk keranda UMNO Barisan Nasional dalam Pihinaraya Umum Ke 14.