Berikutan Deklarasi Rakyat pada 4hb Mac 2016, beberapa kritikan telah ditujukan kepada peminpin Pakatan Harapan terutamanya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Kritikan-kritikan tersebut termasuk mengapa beliau sanggup bekerjasama dengan seorang yang dilabelkan sebagai bapa kepada kerosakan sistem pentadbiran negar ini, Tun Mahathir. Kerjasama untuk menjatuhkan Najib ini dipersoal dengan pelbagai persoalan. Antaranya, siapa yang akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib. Saya setuju bahawa menggantikan Najib dengan seseorang dari UMNO seolah-olah menggantikan seorang lanun dengan seorang perompak. Walau bagaimanapun, kita sebagai warganegara Malaysia yang mencintai tanahair kita ini harus memahami bahawa individu ini telah menyebabkan kemerosotan yang teruk kepada negara kita dari pelbagai segi.
Saya bersetuju bahawa hanya dengan reformasi yang menyeluruh mampu membawa perubahan kepada negara kita. Malah, misi utama semua rakyat Malaysia adalah mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia supaya tidak lagi terus merosakkan negara ini. Sekiranya permintaan ini oleh semua rakyat jelata melalui Deklarasi Rakyat ini dianggap tidak adil oleh ahli-ahli UMNO, maka Najib harus memberi jawapan yang memuaskan terhadap beberapa tuduhan yang di lontarkan kepada beliau. Penjelasan terperinci terhadap bagaimana ‘derma’ sebanyak RM2.6 bilion boleh di masukkan ke akaun peribadinya. Jika perkara ini benar tiada apa-apa yang dilindungi sepertimana yang dijelaskan, maka mengapa pula siasatan PAC mengenai 1MDB diklasifikasi sebagai rahsia melalui OSA pada saat-saat akhir sebelum ia dikemukakan ke parlimen?
Najib menegaskan bahawa akan mendakwa WSJ ke mahkamah apabila WSJ melaporkan sejumlah duit RM2.6 bilion didapati dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau tetapi sehingga kini, langsung tiada tindakan yang telah di ambil. Ekonomi negara semakin meleset dibawah pimpinan Najib yang penuh dengan pertikaian. Maka, keseluruhan anak Malaysia yang mencintai tanahair harus menyokong gerakan Selamatkan Malaysia. Biar kita mengenepikan segala dendam antara satu sama lain dan terus mendesak Najib meletak jawatan. Ini merupakan satu-satunya jalan penyelesaian jangka pendek bagi Selamatkan Malaysia.