Tuan Speaker,
Setinggi-tinggi perhargaan buat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas ucapan yang amat baik bagi merasmikan sidang Dewan yang mulia ini semalam.
Akan tetapi, hakikatnya Malaysia telah mencapai tahap keyakinan terendah dalam soal pentadbiran negara. Kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang telah berjaya menggondol tempat ketiga dalam senarai negara dengan skandal rasuah terburuk bagi tahun 2015. Kita mempunyai perdana menteri yang terlibat dalam skandal RM42 bilion 1MDB. Seorang perdana menteri yang menerima masuk wang tunai berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.
Pun begitu, ketika proses siasatan ke atas skandalnya itu dimulakan, Peguam Negara bertukar, pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) ditukar, dua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditukar ke pejabat Perdana Menteri, meski kemudian mereka ditukar semula ke jabatan asal. Malah timbalannya sendiri pun, disingkirkan kerana bercakap tentang skandal 1MDB.
Walaupun Peguam Negara yang baru dilantik dengan segera membersihkan Perdana Menteri daripada sebarang kesalahan rasuah mahupun jenayah, siasatan di peringkat antarabangsa ke atas dana 1MDB telah mendedahkan bahawa lebih daripada US$1 bilion telah dimasukkan ke akaunnya. Di dalam negara ini, tiada siapan yang benar-benar yakin beliau tidak bersalah.
Persepsi orang ramai melihat Perdana Menteri telah menghalalkan rasuah. Sambil itu, beliau secara sendirian telah menghancurkan integriti Bank Negara, SPRM, Jabatan Peguam negara dan PAC.
Tambahan pula, dengan tindakan mengehadkan kebebasan bersuara, halangan terhadap portal berita The Malaysian Insider dan Sarawak Report, pendakwaan serta penindasan secara sewenang-wenang terhadap pemimpin pembangkang yang bersuara mengenai 1MDB dan skandal RM2.6 bilion, Najib kini tidak syak lagi merupakan raja segala skandal dan nampaknya telah menjadi seorang diktator yang tidak boleh disentuh.
Beliau kini menjadi sebab hilangnya keyakinan dan harapan di kalangan ramai rakyat Malaysia. Ramai yang berpendapat bahawa sekiranya Najib tidak meletakkan jawatan, negara tidak akan mempunyai harapan.
Itulah penyebab utama yang membawa kepada ‘Deklarasi Rakyat’ minggu lalu yang ditandatangani oleh gabungan pemimpin pembangkang, NGO, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir serta bekas timbalan perdana menteri, Yang Berhormat Pagoh. Mereka ini, sebelum Jumaat lalu, langsung tidak pernah terbayang dapat dilihat duduk bersekali untuk melakukan sesuatu secara bersama. Namun pakatan yang aneh ini telah memberi harapan ke arah perubahan demi menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke lembah kehancuran angkara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ramai dari kalangan pemimpin Barisan Nasional cuba memperkecilkan penglibatan Tun Dr Mahathir menandatangani Deklarasi Rakyat dan menggelarkannya sebagai penguasa politik hampir habis usia. Namun di sudut minda mereka, kita semua tahu bahawa penyatuan dan kerjasama pemimpin pembangkang bersama Tun Mahathir mungkin menjadi permulaan terpecahnya Barisan Nasional dan Umno, dan membawa kepada aturan baru dalam lanskap politik Malaysia.
Justeru, saya ingin menyeru kesemua 25 Ahli Parlimen daripada BN Sarawak, bahawa masanya sudah tiba untuk memutuskan hubungan dengan Umno. Ketua Menteri dan pemimpin Sarawak semuanya telah bersuara membantah Umno, menyifatkan ia sebagai sebuah parti perkauman dan punca kepada ketegangan kaum di Semenanjung Malaysia.
Tidak masuk akal apabila dari satu sisi, BN Sarawak membantah Umno di Sarawak, namun di satu sisi lagi, anda terus menyokong Umno supaya mentadbir negara ini. Tidak masuk akal juga apabila Ketua Menteri Sarawak mahukan pentadbiran yang bersih dan baik, namun anda tetap dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang dibelenggu pelbagai skandal. Kecualilah kalau semua cakap-cakap mengutuk Umno di Sarawak oleh Ketua Menteri dan pemimpin BN di Sarawak hanyalah satu tindakan hipokrit demi menarik sokongan pengundi dalam pilihanraya negeri yang akan datang.
Kini BN mempunyai 134 orang Ahli Parlimen (termasuk 25 dari Sarawak) daripada 222 Ahli Parlimen di dalam Dewan yang mulia ini. Jika Ahli-ahli Yang Berhormat daripada BN Sarawak menarik balik sokongan mereka kepada Perdana Menteri, kerajaan BN pimpinan Umno akan menjadi sebuah kerajaan (yang lebih) minoriti. Malah, kita kini ada Pagoh dan Semporna yang telah secara terbuka tidak menyokong Perdana Menteri, dan saya percaya ramai lagi dari kalangan BN berkongsi pendapat yang sama secara diam-diam.
Inilah masanya untuk melakukan perubahan, dan lebih penting lagi, inilah masanya untuk menunjukkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa Sarawak boleh memacu perubahan bagi menyelamatkan negara.
Kebimbangan utama rakyat tentang ekonomi negara ialah mata pencarian dan kelangsungan kehidupan mereka. Isu ekonomi yang ingin saya bangkitkan di Dewan yang mulia hari ini bukanlah statistic berbunga-bungan yang dikemukakan kerajaan tahun demi tahun.
Saya ingin bercakap tentang apa yang dirasai oleh rakyat di luar sana.
Fenomena aneh ekonomi Malaysia, apabila harga minyak antarabangsa berada di paras tinggi, rakyat merana akibat peningkatan kos sara hidup. Meski kerajaan menerima durian runtuh hasil harga minyak yang tinggi, kerajaan tetap memotong subsidi minyak dan gas, lantas mengakibatkan inflasi dan kesusahan kepada orang ramai.
Namun apabila harga minyak antarabangsa jatuh mendadak, kerajaan BN memberitahu kita bahawa pendapatan kerajaan daripada hasil minyak telah berkurang dan ia terpaksa mengurangkan belanja dan subsidi kepada rakyat, malah memotong peruntukan biasiswa JPA serta pelaburannya dalam pendidikan. Akhirnya, orang ramai masih merana akibat peningkatan kos sara hidup.
Nampaknya tidak kira bagaimana keadaan harga minyak, akhirnya rakyatlah yang akan sengsara. Apa pun terjadi, rakyat tetap rugi. Mereka yang meraih keuntungan dari semasa ke semasa adalah kroni-kroni Umno yang mendapat keuntungan daripada kontrak-kontrak kerajaan.
Dasar-dasar kerajaan BN lah yang menjadi punca, daripada menghalang perbelanjaan boros dan rasuah dalam sistem, ia secara sistematik merompak rakyat jelata demi menyelamatkan masalah kewangan yang dihadapinya.
Pertama-tamanya kerajaan memotong subsidi keperluan asas, termasuk subsisi petrol, diesel, gula, beras dan minyak masak.
First, the Government cut subsidies on the basic necessities for the people, subsidy on petrol, diesel, sugar, rice, cooking oil.
Kedua, setelah didapati potongan subsidi rakyat ini tidak mencukupi, kerajaan mengenakan percukaian langsung terhadap rakyat melalui GST, yang mencukai semua orang termasuk mereka yang miskin.
Ketiga, apabila cukai-cukai tambahan ini pun tidak mencukupi untuk menyelamatkan perbendaharaan negara, kerajaan mengurangkan pelaburan untuk generasi akan datang dengan memotong peruntukan perbelanjaan pendidikan tinggi dan juga biasiswa.
Keempat, apabila semua ini masih tidak cukup, kerajaan menggubal undang-undang untuk menggunakan simpanan hari tua dengan mengurangkan caruman KWSP oleh para pekerja dan menggalakkan orang ramai membelanjakan simpanan mereka.
Dua perkara pertama i.e. pemotongan subsidi dan pengenaan cukai GST telah meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Meski para menteri telah cuba meyakinkan rakyat bahawa harga barang akan turun dengan pengenalan GST, hakikatnya, harga barang kian meningkat. Dan yang paling terkesan akibat GST adalah golongan pekerja dan golongan luar bandar.
Namun bukan sahaja pengguna yang menderita, peniaga juga turut terasa kesannya. Secara am, beberapa bulan selepas pengenalan cukai GST, kesemua sektor perniagaan mengalami kerugian sekitar 30%.
Apa yang menyedihkan ialah apabila seluruh negara sengsara akibat GST, Perdana Menteri nampaknya sangat gembira dengan pelaksanaan GST, dan berterima kasih kerana GST lah yang telah menyelamatkan perbendaharaan negara.
Soalan saya yang seterusnya – melihatkan kebergantungan terhadap GST sebagai sumber pendapatan utama kerajaan, bila dan berapa banyakkan kenaikan kadar GST akan dikenakan oleh kerajaan?
Dalam jawapan yang diberikan kepada saya oleh Menteri Kewangan pada Mei 2015, berikutan kejatuhan harga minyak dunia daripada anggaran US$100 satu tong ketika pembentangan Belanjawan 2015 kepada anggaran baru US$55 satu tong pada Mei 2015, anggaran pendapatan kerajaan daripada industri berkaitan petroleum menurun daripada RM62.4 bilion kepada RM47.9 bilion, dengan perbezaan sebanyak Rm14.5 bilion. Memandangkan harga minyak dunia telah jatuh di bawah kadar US$55 satu tong pada 2015, pengurangan anggaran pendapatan negara pastinya lebih besar daripada hanya RM14.5 bilion.
Kadar 6% GST ditetapkan dengan menjangkakan harga minyak kekal pada kadar US$100 satu tong. Sekarang apabila hasil pendapatan minyak jatuh melebihi RM14.5 bilion, apakah yang akan dilakukan kerajaan untuk menampung kerugian akibat kejatuhan harga minyak?
Adakah kerajaan akan meningkatkan kadar GST tahun depan selepas pilihanraya Sarawak? Dan berapa banyak kenaikan kadar GST akan dikenakan oleh kerajaan?
Is the Government going to increase the GST rates next year or after the Sarawak elections? And by how much is the Government going to increase the GST rate?
Ramai anak muda Sarawak bekerja dalam bidang minyak dan gas, terutamanya anak muda Dayak. Akibat kejatuhan harga minyak, kami menjangkakan ramai akan dibuang kerja daripada sektor minyak dan gas. Malah, ramai dari kalangan mereka sudah pun diberhentikan kerja. Sama juga halnya dalam sektor kewangan di mana kita turut menjangkakan ramai akan dibuang kerja ekoran kejatuhan ekonomi.
Mereka semua mempunyai tanggungjawab kewangan untuk membayar pinjaman rumah dan kenderaan.
Apakah rancangan kerajaan untuk membantu mereka yang dibuang kerja daripada segenap sektor di Sarawak? Adakah kerajaan hanya akan membiarkan mereka membela nasib masing-masing dan membiarkan kenderaan mereka ditarik dan rumah mereka dilelong?
Saya mencadangkan supaya kerajaan mengarahkan sektor perbankan supaya mengambil langkah-langkah yang perlu dengan berhenti mengenakan faedah ke atas pinjaman yang diberikan kepada mereka yang telah diberhentikan kerja serta mengurangkan jumlah pembayaran semula bulanan.
Saya juga mencadangkan supaya suatu dana khas dapat diperuntukkan untuk tujuan latihan semula dan bantuan, bagi menolong pekerja-pekerja yang dibuang untuk mendapatkan pekerjaan baru.
Pada tahun 1963, ketika Sarawak bersetuju untuk bersekutu membentuk Malaysia, telah menjadi wawasan para pendahulu supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang adil dan semua orang setara. Sarawak dilayan sebagai rakan kongsi setara antara tiga wilayah yang membentuk Malaysia.
Selepas 53 tahun, Sarawak kini dianggap sebagai salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. Malah Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi mengurangkan status Sarawak daripada salah satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia menjadi hanya salah satu daripada 13 negeri yang membentuk Malaysia. Tahap pembangunan infrastruktur di Sarawak nampaknya terkebelakang sekurang-kurangnya 20 tahun berbanding Semenanjung Malaysia.
Berbanding menjadi rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia, Sarawak kini menjadi sebuah jajahan Putrajaya.
Dengan layanan yang sangat tidak adil terhadap Sarawak, dan melihatkan keadaan Semenanjung yang menyedihkan, di mana Perdana Menterinya terlibat dalam skandal demi skandal, nilai ringgit yang menjunam dan pengenalan cukai GST, ketegangan kaum yang semakin memuncak, dasar pendidikan yang sentiasa berubah dan keadaan negara yang tidak mempunyai hala tuju, kini terdapat desakan daripada rakyat Sarawak supaya autonomi dikembalikan kepada Sarawak dalam beberapa perkara. Kami mahu menguruskan hal ehwal kami sendiri.
Pada bulan Januari tahun ini, Ketua Menteri Sarawak telah bertemu dengan perdana Menteri dan mendakwa beliau telah berjaya mendapatkan pemindahan kuasa kepada negeri dalam 13 perkara.
Namun setelah diteliti, kuasa dalam 13 perkara ini hanyalah kuasa-kuasa pentadbiran, dan bukanlah autonomi yang dituntut oleh rakyat Sarawak.
Apa yang disebut Yang Berhormat Sibuti sebentar tadi adalah ‘autonomi pentadbiran’, dan Sibuti nampaknya sudah cukup gembira dengan autonomi ini.
Terdapat perbezaan yang sangat besar antara autonomi dan autonomi pentadbiran.
Bagi autonomi sebenar, kerajaan negeri sepatutnya mempunyai dana dan kuasa untuk merancang dasar-dasarnya sendiri. Manakala dalam autonomi pentadbiran, dasar masih ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan yang mengawal kewangan, dan kerajaan negeri hanya berkuasa menentukan bagaimana untuk melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.
Saya ingin menegaskan, kami rakyat Sarawak mahukan autonomi dalam ertikata yang sebenar, bukan autonomi pentadbiran. Untuk autonomi sebenar, kerajaan negeri mestilah terlebih dahulu mempunyai kuasa untuk mengutip hasil cukai.
Justeru, pihak DAP telah mencadangkan perkara-perkara berikut:
- Kembalikan kepada Kerajaan Negeri Sarawak:
- Menyemak semula Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan kuasa-kuasa berkait pendidikan, kesihatan dan keselamatan dalam negeri kepada Sarawak.
(a) 20% royalti minyak dan gas sebagai pampasan sebagai ganti hak minyak dan gas; serta
(b) 50% daripada semua hasil cukai (termasuk cukai pendapatan dan GST) yang dihasilkan dan dikutip di Sarawak.
Khasnya, dalam hal pendidikan, kami mahu hak untuk merangka sendiri sukatan pelajaran serta menghidupkan kembali sekolah-sekolah mubaligh dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar supaya ibu bapa mempunyai pilihan sama ada untuk menghantar anak mereka ke sekolah dengan medium bahasa Malaysia, Inggeris ataupun Cina.
Harus ditekankan juga bahawa tanpa hak untuk mengutip cukai, tidak boleh wujud sebarang autonomi bagi negeri Sarawak. Paling kuat pun, hanyalah ilusi autonomi, dan itulah yang didapatkan oleh Adenan daripada Perdana Menteri Najib Razak pada Januari 2016.
Pada bulan Mei 2014, DUN Sarawak telah meluluskan usul yang memberi mandat kepada Kerajaan Negeri untuk menuntut kenaikan royalti minyak Sarawak sebagai ganti hak minyak dan gas daripada 5% kepada 20%. Usul ini menerima sokongan sebulat suara daripada kedua-dua pihak dalam DUN.
Malangnya, selepas 22 bulan masih tidak ada apa-apa hasil. Malah kerajaan negeri nampaknya sedang mengundur daripada tuntutan tersebut, dan tidak mendapat sebarang kemajuan. Apa yang dahulunya merupakan keutamaan dalam agenda Adenan kini telah menjadi perkara terakhir dalam senarai tuntutannya.
Ini hanya menunjukkan bahawa kerajaan BN tidak mempunyai kerelaan untuk menunaikan tuntutan 20% royalti minyak untuk Sarawak.
Ketua Menteri Sarawak kini menggunakan alasan kejatuhan harga minyak dunia bagi menutup kegagalannya mendapatkan royalti minyak 20% buat negeri Sarawak. Semua orang tahu bahawa inilah masa terbaik untuk Sarawak mendapatkan royalti 20% kerana:
- Memandangkan harga minyak rendah, jumlah yang terlibat dalam peningkatan daripada kadar 5% ke 20% tidaklah sebanyak yang perlu dibayar jika harga minyak berada pada kadar US$100;
- Kerajaan Persekutuan baru saja mendapat durian runtuh ekoran pelaksanaan GST pada tahun 2015;
- Bilangan Ahli Parlimen BN Sarawak (25 orang) memegang kunci Kerajaan Persekutan. Ini apa yang dipanggil posisi ‘King Maker’. Kehendak rakyat Sarawak sepatutnya diberi keutamaan; dan
- Pilihanraya Sarawak tidak lama sahaja lagi, dan Najib memerlukan kemenangan yang lebih besar bagi BN Sarawak bagi memperkukuh kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Walaupun dengan keadaan yang begitu baik, Kerajaan Persekutuan masih tidak mahu memberi royalti 20% kepada kerajaan negeri Sarawak. Justeru, nampaknya tidak ada harapan untuk mendapatkan 20% itu daripada BN.
Demi Sarawak, sekali lagi, saya menyeru 25 Ahli Parlimen BN Sarawak untuk menarik diri daripada BN pimpinan Umno. Gunakan kedudukan sebagai ‘King Maker’ dan dapatkan 20% royalti minyak untuk negeri Sarawak.