Cadangan ADUN Twawang Datuk Hassan Mohamood untuk mengenakan hukuman sebatan di khalayak ramai bagi jenayah zina dalam sidang DUN Kelantan 2 hari lepas mengejutkan ramai, lebih-lebih lagi selepas warga dunia baru sahaja menyambut Hari Wanita Sedunia 2016 pada 8 Mac 2016.
Nampaknya, PAS cuba mengalihkan perhatian umum terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan kepentingan umum kepada isu yang tidak releven dan hanya mementingkan agenda mereka. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah menggunakan insiden hukuman sebatan sepertimana yang dilaksanakan di Aceh, Indonesia sebagai contoh “modus operandi” untuk kesalahan berzina dan khalwat.
Hukuman-hukuman seperti sebatan di khalayak ramai bagi kesalahan berzina, khalwat serta berminum arak di Aceh, Indonesia merupakan satu contoh yang keterlaluan tanpa mengambil kira pendapat umum dalam masyarakat berbilang kaum dan juga kes-kes di mana perogol dibebaskan hanya kerana mangsa rogol tidak dapat menampilkan 4 orang saksi.
Jadi persoalannya, di manakah keadilan bagi mangsa-mangsa rogol? Bukankah mereka sepatutnya diberikan pengadilan yang sewajarnya? Bagaimana pula dengan penjenayah yang melakukannya?
Apa yang lebih merunsingkan adalah kebelakangan ini, PAS seringkali membuat kenyataan-kenyataan yang melulu yang jelas memperlekehkan hak, kedudukan serta peranan wanita dalam prasarana politik di Malaysia termasuklah yang menghina wanita dalam percaturan politik mereka.
Mengapakah wujud obsesi yang tidak sihat melalui perlaksanaan kepolisan moral atau “moral policing” dimana sasaran utamanya adalah wanita?
Dengan persepsi regresif sebegini, dapatkah PAS menunjukkan kebolehan mereka untuk memastikan bahawa semangat dan nilai murni Islam sebagai pendukung keadilan dan demokrasi ditegakkan dengan penuh ketaatan terhadap proses kehakiman dalam kes-kes senstif seperti ini?
Adakah hukuman sebatan di khalayak ramai menjadi agenda utama PAS dan apakah yang terjadi kepada asas-teras perjuangan PAS dahulu iaitu untuk mendaulatkan Islam, menegakkan keadilan, memupuk perasaan kasih sayang serta kemaafan dalam masyarakat berbilang kaum?
Sepatutnya keutamaan perjuangan ialah terhadap pemerintah yang zalim, rakus, berasuah dan yang menyalahgunakan kuasa untuk menindas rakyat.
Adakah mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman sebatan, terutamanya di khalayak ramai apabila ianya bercanggah dengan Kanun Keseksaan bahawa wanita tidak boleh dikenakan hukuman sebatan?
Hukuman seperti ini bukanlah asas pendekatan Islam. Dasar ajaran murni Islam adalah pencegahan, pendidikan dan keadilan bagi semua umatnya.
Apa-apa pun, pindaan kepada mana-mana rang undang-undang haruslah berpaksikan kepada semangat demokrasi, keadilan dan kebebasan dan tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“It must be made loud and clear that the eternal message of Islam is justice and equality”