Skip to content

Ucapan menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong oleh Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto di Parlimen

Terima kasih diucapkan diatas peluang Batu Kawan membahas titah diRaja pada sidang Parlimen yang pertama penggal ini.

Saya ingin membawa perhatian dewan yang mulia ini kepada insiden penahanan dua orang wartawan Australia dari Australian Broadcasting Corporation (ABC) di Sarawak pada malam Sabtu yang telah cuba menjalankan kewajipan dan tugas mereka dalam menyoal Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan berhubung skandal 1MDB yang menyelubungi negara ini dan memberi nama yang begitu buruk bagi negara ini.

Kenyataan CID Sarawak adalah kedua-dua wartawan ini telah “crossed the security line and aggressively tried to approach the PM”. Agak pelik kerana Perdana Menteri yang kini rajin dan giat turun padang di bumi kenyalang dalam majlis-majlis keraian bertemu dengan peminat-peminat beliau yang berdekatan untuk bersalam atau ber”selfie” dengan peminat-peminat beliau. Tetapi, apabila 2 wartawan Australia mendekati PM untuk bertanyakan skandal 1MDB, tiba-tiba ianya dianggap satu jenayah oleh pihak berkuasa di Malaysia. Mereka ingin bertanya mengenai bayaran RM 2.8 billion dari 1MDB yang dialirkan ke akaun peribadi beliau. PM seperti biasa tidak menjawab dan telah membiarkan pegawai keselamatannya menahan dan menyoal siasat kedua-dua wartawan ini. Mereka dibebaskan tetapi ditahan di hotel dan dirampas pasport mereka. Saya mengalu-alukan tindakan kerajaan Msia yang tidak mendakwa kedua-dua wartawan tersebut tapi tindakan sebegini merupakan satu jenis harassment terhadap kebebasan media terutama sekali apabila soalan-soalan berkaitan dengan skandal 1MDB atau derma RM2.6bilion kedalam akaun peribadi Perdana Menteri. Hakikatnya, “they should not even been arrested in the first place”. Tindakan pengawal keselamatan memberi gambaran pihak berkuasa berkomplot untuk melindungi Perdana Menteri dalam masa menghalang wartawan luar negara bertanyakan soalan yang setiap Ahli Parlimen disini serta semua rakyat Malaysia bertanyakan memandangkan Malaysia sudahpun menjadi bahan jenaka dan bahan lawak warga dunia.

Tuan Yang Dipertua,

Setakat 2015, jumlah banduan yang berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati di Malaysia adalah 1022 dan dari tahun 1998 sehingga 6 Oktober 2015, seramai 33 banduan telah digantung sampai mati diatas pelbagai kesalahan. Lebih 600 banduan daripada 1022 adalah warganegara Malaysia dan baki lebih 400 bukan warganegara. Apakah indikasi statistik ini? Ini menunjukkan, bahawa hukuman gantung sampai mati ini tidak menghalang penjenayah ” not a deterrent” daripada melakukan kesalahan yang akan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati ini memandangkan bilangan banduan yang telah dijatuhkan hukuman gantung kian meningkat tahun demi tahun. Ia jelas satu pendirian yang memudaratkan Malaysia di mata dunia, diantara negara-negara yang maju yang telahpun memansuhkan hukuman gantung sampai mati ini.

Namun demikian, dalam satu mesyuarat mejabulat anjuran Parliamentarians For Global Action on the Abolition of the Death Penalty yang telah diadakan pada 17 November 2015 yang dihadiri oleh YB Padang Rengas merangkap Pengerusi PGA National Group, YB Batang Sadong merangkap Timbalan Pengerusi PGA National Group bersama dengan YB Ipoh Barat dan ramai lagi Ahli Parlimen yang lain termasuklah saya.

Apa yang diputuskan didalam mesyuarat tersebut mengikut YB Batang Sadong merangkap Menteri Undang-undang dalam Jabatan Perdana Menteri adalah komitmen beliau adalah untuk membentangkan draf pindaan rang undang-undang keatas hukuman gantung sampai mati dimana perkataan “mandatori” haruslah dikeluarkan memandangkan penggunaan perkataan “mandatori” ertinya beban adalah diatas tertuduh untuk membuktikan dia tidak bersalah. YB Batang Sadong juga menyatakan bahawa barangkali pindaan ini akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sesi ini tetapi saya belum lagi kami melihat rang undang-undang diatas meja saya. “It is not easy to amend, but we are working on it. I hope to table it next year in March,” Nancy told reporters after attending a roundtable discussion on the abolition of the mandatory death penalty in the Malaysian Parliament.

Oleh itu Tuan Yang Dipertua, saya ingin bertanya disini komitmen Jabatan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan proaktif dalam membentangkan pindaan rang undang-undang yang amat perlu pada masa ini supaya kuasa pengadilan diberikan kepada hakim supaya setiap kes dapat dipertimbangkan secara holistik memandangkan hukuman gantung mandatori ini tidak memberi ruang untuk perbincangan dan hakikatnya adalah hukuman gantung mandatori ini tiada U-turn. Saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan Malaysia meratifikasikan International Covenant on Civil and Political Rights, terutama sekali Second Optional Protocol dan supaya tiada pengecualian Convention on the Rights of the Child yang membenarkan hukuman “capital punishment” bagi kanak-kanak seperti yang dicerminkan dibawah Akta Kanak-kanak 2001.

Sudah tiba masanya, negara Malaysia, walaupun bukan lagi Pengerusi ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights, untuk menunjukkan ianya benar-benar mahu menegakkan keadilan dan kerajaan mestilah menggunakan moral compas untuk melakukan apa yang betul dan adil disisi undang-undang.

Tuan Yang Dipertua,

Pada bulan Julai 2012, Perdana Menteri YAB Najib Razak telah mengumumkan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang digunakan sejak zaman pemerintahan British lagi. Namun, memandangkan ianya satu akta yang begitu berharga untuk digunakan oleh pihak pemerintah, maka tidak hairanlah PM sendiri telah memutarbelitkan apa yang diucapkan dan telah mengembalikan akta zalim ini dengan penuh dendam. Saya ingin bertanya disini, memandangkan dakwaan hasutan terhadap pensyarah undang-undang UM Azmi Shahrom telah digugurkan, maka adakah kerajaan mempunyai hasrat untuk menggugurkan dakwaan hasutan keatas ADUN Seri Delima, Ahli Parlimen dan ADUN dari pembangkang, wartawan, aktivis dan kartunis politik? Jika tidak apa alasan kerajaan untuk tidak menggugurnya memandangkan negara masih lagi selamat dengan seribu satu akta baru yang kononnya akan mengekalkan keselamatan dinegara ini. Pindaan kepada Akta Hasutan membenarkan kritikan terhadap kerajaan, namun keberkesanan Ketua Polis Negara dalam buruan beliau terhadap mana-mana suara yang mengkritik adalah luar biasa sekali. Kelajuan serta keagresifan beliau wajar dipuji. Jadi pindaan kepada Akta Hasutan tidak ikhlas dan hanyalah sandiwara untuk menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin dan demokratik, yang jelas jauh dari kebenaran. Jika hasrat kerajaan benar-benar mahu mewujudkan satu pentadbiran yang lebih telus dan “accountable”kepada rakyat Malaysia demi manfaat negara dan rakyat maka mansuhkan Akta Hasutan 1948 ini dengan segera.

Saya juga ingin bertanya disini apakah status Akta Keharmonian Nasional dan bilakah ianya akan menggantikan Akta Hasutan 1948 seperti yang diwarwarkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2012?

Tuan yang Dipertua,

Isu keganasan terhadap wanita dan keganasan rumahtangga kian meningkat di negara kita tahun demi tahun.

Statistik yang telah diberikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri berhubung kes keganasan rumahtangga di dewan yang mulia ini amat memeranjatkan. Bilangan kes keganasan rumahtangga semakin meningkat tahun demi tahun dan diantara tahun 2010 sebanyak 3173 kes dan 5014 pada 2015, peningkatan sebanyak 58%. Satu peningkatan yang amat tinggi dan meresahkan. Apa yang pelik adalah, kadar bilangan dakwaan masih lagi rendah berbanding dengan bilangan kes yang kian meningkat. Ketidakberkesanan dan kadar pendakwaan kes keganasan rumahtangga yang rendah bukanlah satu galakan untuk mangsa membuat laporan terhadap penjenayah dan mangsa akan tidak tampil untuk membuat laporan memandangkan bilangan dakwaan amat rendah. Bukan itu sahaja Tuan Yang Dipertua, setakat ini tiada sesiapapun yang telahpun didakwa atau disabitkan diatas kesalahan “marital rape” atau “rogol dalam perkahwinan” semenjak pindaan kepada Kanun Keseksaan diluluskan pada tahun 2007 setelah kerajaan menyatakan bahawa ianya tidak akan menjenayahkan rogol dalam perkahwinan atau criminalising marital rape. Tiada satu pun dakwaan dibuat dibawah Seksten 375A Kanun Keseksaan sehingga akhir tahun 2015.

Pada tahun 2014, 4 orang yang disyaki dibawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan dengan satu kes diklasifikasi sebagai No Further Action manakala 3 lagi masih dalam siasatan. Dari Januari hingga Mac tahun ini, laporan Kementerian Dalam Negeri menunjukkan tiga kes yang telah direkod dan kesemuanya masih dibawah siasatan. SebuahJawatankuasa Khas ditubuhkan pada tahun 2006 dan dapatan jawatankuasa ini tidak bersetuju bahawa suami merogol isteri, dengan izin, marital rape, dijadikan suatu kesalahan di Malaysia dengan alasan ia adalah bertentangan dengan undang-undang syariah dan agama lain. Adakah undang-undang syariah atau undang-undang agama lain membenarkan si suami untuk memaksa isterinya untuk bersetubuh walaupun isterinya enggan?

Dimanakah kepercayaan kepada sistem perundangan dan adakah keadilan akan ditegakkan bagi mangsa-mangsa ini. Mengapakah kerajaan tidak mahu criminalise marital rape. Adakah status suami itu satu lesen untuknya memaksa isterinya untuk bersetubuh? Dengan peningkatan kes keganasan rumah tangga dan kadar penyabitan yang rendah jelas menunjukkan “miscarriage of justice” kepada mangsa-mangsa keganasan ini.

Tuan Yang Dipertua,

Saya telah membangkitkan cadangan penubuhan satu Suruhanjaya Keganasan Rumahtangga dan Seksual di Dewan yang mulia ini. Jawapan yang telah saya terima amat mengecewakan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan walaupun cadangan ini bagus namun mereka perlu mengkaji semula cadangan ini. Saya berasa pelik, kerana cadangan saya ini adalah satu keperluan untuk mangsa-mangsa keganasan rumahtangga dan seksual diberi keadilan dan menurut menteri ianya perlu masa untuk dikaji. Akan tetapi, satu percukaian yang regresif dan zalim seperti GST dibentangkan dengan laju, dibahaskan dengan melulu dan diluluskan dalam sekelip mata. Mengapa pula Suruhanjaya ini tidak diberi kepentingan yang sama?

Jadi, saya berdiri disini untuk mencadangkan sekali lagiagar satu Suruhanjaya Keganasan Rumahtangga dan Seksual ditubuhkan agar kes-kes yang berkaitan dengan isu keganasan rumah tangga dan keganasan seksual supaya mangsa-mangsa akan mendapat perwakilan dan pengadilan yang setimpal memandangkan sistem yang wujud dinegara kita membenarkan pesalah-pesalah keganasan rumahtangga ini terlepas daripada dakwaan di mahkamah.

Tuan Yang Dipertua,

Pada bulan Mei 2015, negara Malaysia digegarkan dengan penemuan 2 kem kematian atau death camps dengan 139 kubur dengan jumlah 106 mayat yang ditemui di Wang Kelian, Perlis walaupun ada sumber yang menyatakan jumlah ini jauh lebih banyak dari bilangan sebenar. Penemuan tulang dan gigi dan tinggalan rangka menunjukkan bahawa kanak-kanak, wanita dan lelaki semua telah disumbat kedalam sangkar kecil mungkin sebagai hukuman kerana cuba melarikan diri dari sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Setakat ini, hanya beberapa pegawai sahaja dari Malaysia yang telah ditahan berhubung penemuan kem-kem ini.

Saya pasti, satu jaringan atau sindiket sebegini tidak boleh berfungsi dengan penglibatan hanya beberapa pegawai sahaja dan pasti bilangannya jauh lebih ramai. Selepas 3 bulan satu lagi kem pemerdagangan manusia telah dijumpai di Bukit Wang Burma dengan penemuan 28 kem kematian pada bulan Ogos.

Pada bulan Jun 2015, muncul satu laporan yang dahsyat yang disediakan oleh Bahagian Cawangan Khas atau Special Branch yang menunjukkan 80 peratus pegawai kakitangan keselamatan sempadan yang disyaki terlibat dalam gejala rasuah juga terlibat dalam sindiket penyeludupan senjata, dadah dan manusia berdasarkan pendedahan laporan Cawangan Khas Jun lalu. Seramai 8 orang pegawai telah ditahan di Kem Tahanan Kamunting tetapi penahanan mereka dibatalkan selepas beberapa bulan disana. Takkan 8 orang sahaja dan mengapa mereka ini dibebaskan? Apa sebabnya?

Tuan Yang Dipertua

Ini bukan sahaja hanya hal yang berkaitan dengan perlindungan sempadan sahaja tetapi yang lebih serius perkhianatan terhadap undang-undang oleh mereka yang sepatutnya memelihara keselamatan negara kita.

Menurut KDN erajaan bercadang untuk menggantikan pegawai sempadan dengan pasukan tentera. Walaupun ini satu cadangan yang baik namun apa yang masih tergantung adalah “lack of aggressiveness” dalam penangkapan, pendakwaan dan penyabitan pegawai yang terlibat. Dalam jawapan Parlimen 8 Mac 2016, KDN menyatakan bahawa pihak polis telah menjalankan siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIIPS) Bukit Aman untuk menentukan kesahihan dakwaan berkenaan yang menyatakan bahawa 80 peratus pegawai-pegawai penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan negara di sempadan terlibat dalam rasuah walaupun disahkan terlebih awal bahawa tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh Pengarah Cawangan Khas PDRM seperti yang disiarkan dalm media sosial dan akhbar.

Hasil daripada siasatan dalaman yang dibuat telah merumuskan bahawa tiada kebenaran dakwaan tersebut dan dakwaan sedemikian merupakan perkara yang sengaja disensasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang tidak diketahui tujuan sebenar berbuat demikian.

Sebenarnya, laporan Cawangan Khas ini boleh dipercayai ekoran lebih 28 kem penahanan mangsa penyeludupan dan 139 kubur mangsa ini yang ditemui diatas tanah negara ini.

Saya ingin bertanya disini, mengapa kes ini tidak disiasat dibawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandangkan ianya berkaitan dengan kejadian rasuah di sempadan negara? Saya ingin juga menyatakan disini agar Cawangan Khas membuktikan jika laporan 10 tahun yang melibatkan General Operations Force, Anti-Smuggling Unit, Malaysian Maritime Enforcement Agency dan Jabatan Imigresen samada ianya benar atau tidak.

Tuan Yang Dipertua,

Pada 23 Ogos 2015, 7 kanak-kanak Orang Asli dari Pos Tohoi telah dilaporkan hilang dan beberapa hari kemudiannya baru dilaporkan oleh pihak sekolah di Gua Musang. Selepas hampir 2 bulan mencari hanya 2 daripada mereka ini masih hidup, 4 lagi telah meninggal dunia dan seorang lagi Sasa Sobrie masih dilaporkan hilang. Sebabnya? Keadaan infrastruktur sekolah yang teruk, makanan yang diberikan tidak berkhasiat dan dalam beberapa kes, sudah busuk dan paling kritikal sekali layanan yang kasar dan penderaan yang berlaku di sekolah SK Pos Tohoi.

Dalam temuduga Al Jazeera dengan Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan berhubung tragedi kehilangan dan kematian anak-anak Orang Asli ini, komen beliau adalah “I am not in the position to comment” dan apabila wartawan bertanyakan samada pegawai ini akan menghantar anaknya ke sekolah tersebut, pegawai itu ketawa sahaja.

Kata Ketua Pengarah JAKOA Hasnan Hassan, komuniti Orang asli tidak bersyukur dan berterima kasih dengan segala bantuan dari kerajaan. Orang ini berkhidmat untuk Orang Asli atau untuk kerajaan? Tidak boleh dinafikan bahawa komuniti Orang Asli di Semenanjung dan Orang Asal di Sabah dan Sarawak terpinggir daripada arus pembangunan dan lebih-lebih lagi hak-hak mereka serta hak-hak tanah adat mereka dirampas melalui proses pemutihan oleh kerajaan BN ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran YB Kamalanathan kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk komuniti Orang Asli namun bilangan kanak-kanak yang tercicir dari sekolah ada yang sampai 40% dan menyalahkan ibubapa yang mahukan anak-anak mereka mengutip kacang di hutan. Saya tidak tahu sumber YB tetapi apabila kami bertemu dengan ibu bapa anak-anak Orang Asli ini mereka menafikan apa yang dikatakan oleh YB Kamalanathan. Seperti semua ibubapa yang mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka, ibu bapa ini juga mahukan anak-anak mereka bersekolah, pandai mengira, menulis dan membaca dengan impian satu hari nanti anak-anak mereka juga akan menjadi seorang pegawai kerajaan, guru, doktor, polis dan sebagainya. Jangan salahkan komuniti Orang Asli diatas ketidakcekapan dalam pengendalian isu-isu yang dihadapi oleh komuniti ini. Pada tahun 70an, sekolah-sekolah kecil dibina di kampung-kampung Orang Asli supaya kanak-kanak dapat hadir ke sekolah dan masih dibawah pengawasan dan penjagaan ibu bapa. Hari ini, sekolah besar bersama asrama dibina lebih kurang 10 km dari perkampungan mereka dan ini menghindari ibubapa untuk berkunjung ke sekolah untuk melawat anak-anak mereka. Sehingga kini, masih ramai lagi ibu bapa yang tidak mahu hantar anak-anak mereka ke SK Pos Tohoi kerana mereka takut anak-anak mereka pula akan menghadapi nasib yang sama dengan kanak-kanak yang hilang ini.

Sudah hampir 7 bulan insiden pahit ini berlaku namun tiada mana-mana pihak yang telah dibawa ke muka pengadilan. Saya ingin bertanya disini, apakah status guru yang mendera kanak-kanak di SK Pos Tohoi dan di sekolah-sekolah Orang Asli yang lain memandangkan Timbalan Menteri Pelajaran sendiri sudah menyatakan bahawa guru tidak boleh memukul pelajar sekolah? Siapakah dalang disebalik tragedi 7 kanak-kanak yang hilang ini? Mengapa belum lagi ada keputusan siasatan yang dilakukan? Sehingga kini masih ada 74 lagi kanak-kanak Orang Asli SK Pos Tohoi yang masih belum mendaftar lagi untuk ke sekolah. Saya tidak boleh salahkan mereka. Mengapa perlu mereka percaya kepada satu kerajaan yang telah mengkhianati hak mereka?

Tuan Yang Dipertua

Parlimen Batu Kawan dalam tiga tahun ini akan melihat perkembangan yang pesat dengan pembangunan infra seperti projek perumahan, pembinaan universiti, hospital swasta serta pusat membeli belah yang bakal akan dibina disana. Walaupun tanah telah diperuntukan untuk pembinaan sebuah hospital kerajaan namun belum ada lagi apa-apa komitmen dari kementerian kesihatan untuk membinanya.

Dalam jawapan Kementerian Kesihatan bertarikh 10 Mac 2016, menteri menyatakan bahawa Hospital Sungai Bakap masih boleh tampung perkhidmatan perubatan penduduk Batu Kawan. Mungkin Menteri Kesihatan tidak begitu arif mengenai geografi di Seberang Prai Selatan kerana Hospital Sungai Bakap perlu menampung bukan sahaja penduduk kawasan Batu Kawan namun penduduk Nibong Tebal juga. Hospital Sungai Bakap ini terdiri dari bangunan lama yang beroperasi sejak 1891 dan mengikut jawapan yang diberikan bahawa “hospital ini boleh ditambah baik dari segi struktur dan tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan”. Bolehkah menteri memberi komitmen untuk upgrade hospital lama dan usang ini?

Jarak diantara Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam adalah dalam 13 km manakala jarak diantara Hospital Seberang Jaya dan Hospital daerah Sungai Bakap adalah 23 km dan jarak diantara Hospital Seberang Jaya dan Hospital daerah sungai bakap dalah 25 km. Oleh itu, secara geografi, Hospital Sg Bakap terletak jauh daripada kedua-dua hospital Seb Jaya dan BM dan tidak boleh digunakan sebagai pengukur justifikasi ketidakperluan untuk membina sebuah hospital baru di Batu Kawan. Saya ingin bertanya apakah kos pembinaan sebuah hospital baru dan jika kementerian kewangan dapat mengagihkan amaun ini untuk Kementerian Kesihatan membina hospital baru di Batu Kawan.

Tuan Yang Dipertua,

Hari ini Jason Loo dari Penang Gerakan Youth Legal and Public Complaints Bureau menyatakan bahawa rumah mampu milik di Pulau Pinang terletak pada harga RM 400K. Saya ingin menegaskan disini, menyangkal fitnah dan tohmahan dari orang bodoh seperti ini terhadap usaha kerajaan negeri PP untuk menyediakan rumah kos rendah, kos medium rendah dan rumah mampu milik memandangkan janji PR1MA seakan melepas batuk di tangga. Saya mintak Menteri memberitahu dari parti komponen Gerakan ini supaya menyemak kenyataan rasmi EXCO Perumahan YG Jagdeep semalam yang jelas menyatakan komitmen dan usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan yang layak sebelum mengeluarkan kenyataan syok sendiri. Nampak bodoh. Tuduhan liar ini menyatakan kerajaan Pulau Pinang tidak mengagihkan rumah kos rendah bernilai RM42K dan rumah mampu milik bernilai RM72K dan rumah-rumah yang paling murah pun berharga RM400K. Ini merupakan fitnah semata-mata dan tidak mencerminkan status sebenar peruntukan rumah kos rendah dan rumah mampu milik oleh kerajaan negeri PP. Oleh itu saya ingin bertanya disini, adakah benar kerajaan BN tiada hasrat untuk membina rumah mampu milik PR1MA? Jika kerajaan BN tiada hasrat saya ingin tahu mengapa? Dan jika rumah PR1MA akan dibina maka, saya ingin menteri menyatakan bilakah semua rumah mampu milik PR1MA akan dibina di Pulau Pinang serta bilangan dan lokasi pembinaan rumah-rumah ini.

Tuan Yang Dipertua, saya berharap soalan-soalan saya ini akan diberi jawapan yang spesifik padat dan berfokus kepada soalan saya memandangkan sebelum ini jawapan yang saya sering terima adalah agak kabur dan tidak bernas.

Sekian terima kasih.