Skip to content

Kuil diroboh, Kerajaan Perak bertanggungjawab

Pada pagi ini pihak PTG bersama-sama dengan MBI telah merobohkan sebuah Kuil Hindu di Regat Silibin, Ipoh. Kuil Sakthi Muniandy yang berusia lebih 40 tahun telah dirobohkan oleh kerajaan negeri Perak tanpa rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan.

Saya hendak mengingatkan bahawa isu meroboh sebuah kuil di Selangor telah menimbulkan perasaan marah dikalangan masyarakat Hindu di seluruh negara, Isu ini telah membara sehingga sokongan kaum India telah beralih kepada pihak pembangkang dalam PRU12.

Selepas PRU 12, isu merobohkan kuil Hindu jjarang berlaku terutamanya di Negeri Perak. Sewaktu Pakatan Rakyat memerintah Negeri Perak pada tahun 2008, kita menzahirkan polisi supaya tidak merobohkan mana-mana kuil atau mana-mana tempat ibadat tanpa persetujuan daripada EXCO kerajaan negeri.

Ini adalah untuk memastikan supaya kuasa merobohkan tempat ibadat diletakkan di bawah pemerintah kerajaan negeri dan bukan kepada mana-mana agensi-agensi lain. Ini adalah penting kerana meroboh kuil atau tempat ibadat merupakan isu yang amat sensitif dalam boleh menimbulkan huru-hara.

Insiden pagi ini membuktikan kezaliman kerajaan Barisan Nasional sudah berulang di Negeri Perak. Pihak MIC Perak juga terlalu bacul dan tidak boleh berbuat apa-apa dalam hal ini.. Selepas peristiwa ini, saya percaya banyak lagi kuil akan dirobohkan di negeri Perak. Saya pasti tindakan yang serupa akan berulang secara bersiri di seluruh negara.

Apabila sesebuah kuil hendak dirobohkan, beberapa upacara agama perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Selepas upacara berkenaan, orang-orang beragama Hindu sendiri harus melakukan kerja-kerja merobohkan kuil tersebut. Tetapi, dalam hal ini, pihak Hindu Sangan tidak diberi peluang untuk menjalankan apa-apa upacara. Pihak penguatkuasa yang datang untuk merobohkan kuil itu tidak mahu berunding dengan pihak Pertubuhan Hindu Sangam Malaysia. Kuil dirobohkan oleh orang-orang bukan Hindu.

Pihak penguatkuasa pula berkata ini adalah ‘arahan dari pihak atasan’. Saya hendak tahu siapakah pihak atasan yang dimaksudkan itu? Menteri Besar Perak Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kader? Dato Mah Hang Soon EXCO yang bertanggungjawab dalam soal agama bukan Islam?

Walau bagaimanapun, kerajaan Negeri Perak harus mengambil tanggungjawab dalam isu merobohkan kuil Hindu ini.