Pertama sekali, saya berasa kesal dengan beberapa laporan akhbar yang tidak tepat seperti mana yang dipaparkan pada hari ini sedangkan saya tidak memberi apa-apa ulasan kepada mereka. Justeru, saya mengeluarkan kenyataan media secara bertulis ini untuk mengelakkan sebarang salah tafsir atau gambaran salah yang dibuat secara sengaja.
Saya membaca laporan Malaysiakini semalam bahawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor merangkap Pengerusi PERDA Datuk Shabudin Yahaya telah membuat tuduhan rasuah terhadap saya di Dewan Rakyat di mana beliau telah mengaitkan pembelian rumah saya dengan tanah Kerajaan Negeri di Taman Manggis yang telah dijual pada tahun 2012 kepada pemaju swasta untuk membina hospital swasta dan hotel. Tuduhan ini adalah palsu dan tidak berasas.
Saya ingin melihat apakah fakta yang mendorong Datuk Shabudin untuk membuat tuduhan seperti ini. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Saya ingin menjemput Datuk Shabudin Yahaya untuk bersemuka dengan saya “Mencari Kebenaran Daripada Fakta” di hadapan pihak media massa di pejabat saya di Komtar pada hari Ahad, 20 Mac ini jam 11am.
Selepas 7 tahun menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, saya telah membeli sebuah rumah di Pulau Pinang. Rumah saya, sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn berusia lebih 30 tahun. Saya membeli rumah tersebut dengan harga RM2.8 juta pada 28 Julai 2015, bukan dari pemaju swasta tetapi dari individu persendirian. Saya membeli dengan mengambil pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan baki RM700,000 dibayar secara tunai, berdasarkan apa yang saya terima sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat.
Shabudin membuat tuduhan bahawa nilai rumah saya sepatutnya lebih tinggi. Walau bagaimanapun ini adalah transaksi “bebas dan rela hati” (arms-length) di antara saya dan penjual berasaskan dasar kesanggupan secara rela hati pembeli dan penjual (willing buyer-willing seller). Penjual merupakan individu persendirian melalui sub-jualan, dan bukan merupakan pemaju perumahan. Selagi tidak ada paksaan atau pengaruh yang tidak wajar, kontrak penjualan rumah ini umpama seperti perkahwinan – ia terpulang kepada kedua-dua pihak masing-masing secara rela hati untuk memutuskan harga yang sesuai atau teman yang sesuai.
Malaysiakini melaporkan bahawa Shabudin mengaitkan pembelian rumah ini dengan tanah Kerajaan Negeri di Taman Manggis yang dijual pada tahun 2012 kepada pemaju swasta untuk membina hospital swasta. Beliau juga mendakwa tanah Taman Manggis sepatutnya adalah untuk projek perumahan kos rendah, membuat implikasi bahawa pembelian rumah saya dengan harga yang rendah adalah bentuk sogokan.
Ini bukan kali pertama dakwaan palsu tentang rasuah terhadap saya yang mengaitkan tanah Taman Manggis telah dibuat. Bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang dan Ketua UMNO Bahagian Bagan, Shaik Hussein Mydin pada 19 Ogos 2015 telah menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara lisan kepada saya sebanyak dua kali di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas saya menyaman beliau kerana memfitnah.
Adalah tidak benar untuk mengaitkan pembelian rumah saya pada tahun 2015 dengan tanah Kerajaan Negeri di Taman Manggis yang dijual pada tahun 2012, apabila penjualan tanah Kerajaan Negeri telah dijalankan melalui tender terbuka yang kompetitif. Adakah salah untuk menjual tanah kepada pembida yang paling tinggi? Pemaju swasta yang telah memenangi bidaan ini secara tender terbuka yang kompetitif – berjaya kerana mereka memberikan harga yang terbaik dan tertinggi. Penjual rumah saya tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi bidaan tanah ini dan bukan pemegang saham atau ahli Lembaga Pengarah syarikat itu. Tambahan pula Jawatankuasa Tender Kerajaan Negeri tidak dipengerusikan oleh saya tetapi dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri tidak mengetahui bahawa tanah Taman Manggis telah diperuntukkan untuk perumahan kos rendah. Bagi mengalakkan pelancongan perubatan, Kerajaan Negeri memutuskan untuk menawarkan tanah tersebut untuk pembinaan hospital pakar. Dakwaan oleh BN berhubung tanah Taman Manggis adalah isu lama yang pernah dimainkan oleh BN sebelum pilihan raya umum 2013.
Dakwaan rasuah tanpa asas, kebenaran atau fakta adalah serangan peribadi untuk menamatkan kerjaya saya dengan cuba untuk menyamakan saya dengan BN. Selagi Datuk Shabudin hanya bercakap di dalam Dewan Parlimen, beliau menikmati kekebalan Parlimen daripada tindakan undang-undang. Sebagai Pengerusi PERDA, beliau harus mencari fakta yang benar untuk membuktikan saya terlibat dengan rasuah.
Atas sebab itu, saya menjemput beliau untuk bersemuka secara satu-sama-satu berdasarkan fakta dan angka, pada pukul 11 pagi Ahad 20 Mac 2016 di hadapan media massa di pejabat saya di Komtar. Daripada perjumpaan satu-sama-satu ini, rakyat Malaysia boleh menilai sendiri siapakah yang bercakap benar, siapa yang bersih dan siapa yang membuat serangan liar, tidak bertanggungjawab dan serangan peribadi yang tidak berasas.