Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan bagai “meludah ke langit, terkena muka sendiri” bila secara tidak langsung dalam kenyataannya semalam, mengakui Perdana Menteri dan PR1MA menetapkan harga jualan maksima untuk rumah mampu milik sebanyak RM400,000 pada Bajet 2013.
Pada 16 Mac 2016 di Parlimen, beliau mendakwa bahawa saya berbohong bila saya menyatakan Kerajaan Persekutuanlah yang menentukan harga maksima rumah mampu milik adalah RM400,000 dan bukannya oleh kerajaan negeri. Dalam kenyataannya semalam pada 17 MAC, 2016, Datuk Abdul Rahman Dahlan cuba menegaskan paras RM 400,000 harga maksima rumah mampu milik di Malaysia tidak pernah ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan, malah ia tertakluk dalam bidang kuasa mutlak kerajaan-kerajaan negeri.
Bagaimanapun beliau mengakui kenyataan balas saya bahawa Laporan Ekonomi 2013/2014 dan Ucapan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri menetapkan harga jualan maksima rumah mampu milik pada paras RM400,000. Beliau terus mendakwa bahawa, walaupun PR1MA dibenarkan untuk menjual rumah di paras harga maksima RM400 ribu, namun, 84% unit rumah di bawah PR1MA tetap dijual di bawah RM300 ribu.
Apa gunanya terus menafikan kebenaran, fakta dan hakikat bila beliau sendiri membuka pekung di dada bahawa sememangnya Perdana Menteri dan PR1MA telah menetapkan harga rumah mampu milik pada RM400,000 seawal Bajet 2012 lagi.(lihat lampiran) Tambahan pula, beliau memukul mulut sendiri bila beliau terus menyatakan, “pada 18 Januari 2016, Jawatankuasa Kerja Pemantauan(JKPKM), yang turut dihadiri oleh YB EXCO Perancangan Bandar & Desa Dan Perumahan Negeri Pulau Pinang, memutuskan supaya semua Kerajaan Negeri memperhalusi enam (6) syor yang dibincangkan termasuk harga jualan rumah mampu milik. Pendek kata, Majlis Perumahan Negara belum lagi memutuskan had maksima harga rumah mampu milik untuk setiap negeri.”
Sekali lagi beliau mendakwa kerajaan negeri diberikan peluang hanya sekarang, pada 2016 untuk memperhalusi keputusan Bajet 2012 oleh kerajaan persekutuan yang dibuat empat tahun lepas, bahawa harga maksima rumah mampu milik adalah sebanyak RM400,000. Siapa yang bohong sekarang – biar rakyat tentukan!