Parti Tindakan Demokratik mengutuk sekeras-kerasnya serangan di Brussels pada hari Rabu lalu yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang dan mencederakan 260 orang yang lain.
Sepanjang 10 hari lalu, terdapat juga beberapa serangan kejam yang berlaku di seluruh dunia, termasuk pengeboman kereta di Ankara, Turki yang telah mengorbankan 37 orang pada 13 Mac 2016, dua pengeboman berani mati di Maiduguri, Nigeria pada 16 Mac 2016 yang menyebabkan 24 kematian, dan satu pengeboman berani mati di Istanbul, Turki pada 19 Mac 2016 mengakibatkan 5 orang terbunuh.
Setiap kehilangan nyawa adalah tragis. Seperti semua rakyat yang cintakan keamanan di dunia, kami menolak keganasan dan serangan tidak berperikemanusiaan ini.
Marilah kita bersatu dan bersolidariti untuk Brussels bagi membuktikan bahawa apa juga bentuk ancaman dan keganasan tidak boleh sama sekali dibiarkan berlaku. Ia hanyalah akan menyemai kebencian dan kebencian bukanlah penyelesaian kepada konflik. Kita perlu kekal komited kepada nilai-nilai demokrasi dan perpaduan untuk menegakkan keamanan dalam menghadapi konflik.