Kita bersyukur diatas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang telah memerintahkan pihak Defendan termasuk Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar, membayar gantirugi sebanyak RM414,800 kepada keluarga arwah Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak oleh polis hampir 6 tahun yang lalu. Walaupun gantirugi ini tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan kehilangan orang yang disayangi dan menjadi harapan keluarga, namun sekurang-kurangnya ia dapat mengembalikan keadilan dan kebenaran serta mengubat kedukaan pihak keluarga yang telah berjuang selama beberapa tahun naik turun mahkamah bagi menuntut keadilan.
Sekurang-kurangnya KPN harus memohon maaf secara terbuka kepada keluarga terbabit dan juga kepada rakyat Malaysia diatas kematian arwah Aminulrasyid bagi menunjukkan rasa tanggungjawab pihak polis. Diharapkan peristiwa sebegini tidak akan berulang lagi dimasa yang akan datang.
Kes ini juga menunjukkan betapa perlunya ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis atau “Independent Police Complaint and Misconduct Commission” (IPCMC) seperti yang telah dicadangkan dalam laporan Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang telah dikemukakan pada 16 Mei 2005. Telah banyak kes-kes yang berlaku yang melibatkan salah laku dan jenayah oleh anggota polis terutamanya kematian dalam tahanan terbiar tanpa siasatan bebas yang kesemua ini telah menghakis kepercayaan rakyat Malaysia terhadap tahap professionalisma PDRM.
Penubuhan IPCMC akan mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap PDRM dan yang paling penting memastikan kes-kes salah laku dan jenayah oleh anggota polis tidak akan berulang lagi kerana mereka tahu adanya badan bebas yang akan menyiasat kes mereka dan bukannya seperti amalan sekarang dimana ianya akan disiasat oleh polis sendiri yang terdedah kepada berlakunya amalan “melindungi sesama kawan” dan sebagainya seperti yang terbukti dalam kes yang melibatkan arwah Aminulrasyid.
Bersempena dengan Hari Polis yang ke 209 yang disambut pada hari ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua anggota polis yang telah menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah, jujur dan dedikasi. Tanpa mereka kita rakyat Malaysia tidak mungkin akan dapat menikmati kehidupan yang aman dan selamat seperti yang kita nikmati sekarang ini. Penubuhan IPCMC yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan bukanlah untuk menghukum pihak polis sebaliknya ianya adalah bagi memastikan institusi polis terus diyakini dan dihormati oleh rakyat berbilang kaum dan agama di negara tercinta ini.
Sekian. Terima kasih dan Selamat Menyambut Hari Polis Yang ke 209.