Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar boleh memaparkan profesionalisme polis dengan mengakui kesilapan yang dibuat dan meminta maaf atas tindakan salah polis menembak mati budak sekolah berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah. Kata-kata beliau bahawa “tidak pernah ada masa di mana kita tidak berlaku profesional” mungkin akan kembali menghantui beliau dalam kes-kes salah laku polis seperti kematian dalam tahanan atau keganasan polis yang diketengahkan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor.
DAP tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) bahawa polis sentiasa profesional, apabila beliau cuba meyakinkan saya yang pihak polis tidak akan bertindak dengan cara berbeza dalam menyiasat dakwaan rasuah terhadap saya oleh BN berhubung pembelian rumah saya yang lebih rendah daripada nilai pasaran. Ketua Polis Negara secara terbuka mengeluarkan kenyataan dalam masa yang amat luarbiasa sekali, iaitu kurang daripada 48 jam selepas Pemuda UMNO membuat laporan terhadap Cik Phang Li Koon yang menjual rumahnya kepada saya, atas dakwaan membuat akuan berkanun palsu (SD).
DAP berharap Ketua Polis Negara boleh menunjukkan tindak balas luarbiasa cepat yang sama apabila laporan polis dibuat oleh pembangkang terhadap pemimpin BN. Sebagai permulaan yang baru untuk menunjukkan profesionalisme polis, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu menukar pendiriannya bahawa beliau tidak berhutang permohonan maaf kepada keluarga budak sekolah yang ditembak mati enam tahun lalu, walaupun keputusan mahkamah baru-baru ini mendapati Ketua Polis Negara bersalah atas kesalahan kemungkiran awam.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Mac 2016, telah membuat keputusan memihak kepada keluarga Aminulrasyid dalam tuntutan mahkamah sivil mereka, terhadap pegawai polis yang melepaskan tembakan yang membawa kepada kematian itu, Ketua Polis Negara serta kerajaan persekutuan. Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menegaskan bahawa tidak ada bukti untuk menyokong tuntutan Khalid bahawa polis bertindak selepas mendapati parang di dalam kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.
Beliau telah mengarahkan defendan, termasuk Khalid, dalam saman sivil itu membayar sejumlah RM414,800 sebagai ganti rugi kepada keluarga Aminulrasyid. Khalid diperintah membayar RM100,000 sebagai ganti rugi kepada keluarga untuk kemungkiran awam. Walaupun permohonan maaf secara terbuka tidak akan membawa balik Aminulrasyid, Ketua Polis Negara akan membantu untuk memberi ketenangan kepada kesedihan yang dialami oleh keluarga ini sejak 6 tahun yang lalu.