Skip to content

Status kerusi Parlimen Kota Melaka tidak berubah

Susulan daripada kenyataan kepada media oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam berkenaan status kerusi Parlimen Kota Melaka, saya telah mengunjungi beliau di kamarnya sebentar tadi untuk menerangkan pendirian DAP.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him telah digantung keahlian sebagai ahli DAP selama 12 bulan berkuatkuasa pada 6 Februari 2016 oleh Jawatankuasa Disiplin DAP. Status keahliannya hanya digantung, bukannya dipecat. Justeru itu, beliau masih merupakan ahli DAP dan status beliau sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka mewakili DAP adalah tidak berubah. Malah, saya juga tidak pernah meminta Speaker Dewan Rakyat mengubah kedudukan kerusi beliau di Dewan.

Semua wakil rakyat DAP mesti berpegang kepada prinsip bahawa mereka memenangi kerusi masing-masing di Parlimen ataupun di Dewan Undangan Negeri di atas tiket parti DAP. Selagi seseorang ahli tersebut tidak dipecat atau tidak meninggalkan parti, kerusi yang masih disandang adalah kerusi milik DAP.

Justeru itu, tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka untuk mengumumkan ADUN Duyong, Goh Leong San sebagai ADUN Bebas ialah satu keputusan yang salah. Status keahlian Goh Leong San juga hanya digantung selama 12 bulan dan status kerusi Duyong masih merupakan kerusi DAP.

Surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung DAP kepada Speaker DUN Melaka hanya memaklumkan keputusan parti untuk melantik ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong sebagai Ketua Pembangkang DUN Melaka menggantikan Goh Leong San dan ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew sebagai Ketua Whip DUN Melaka.