ADUN-ADUN BN Selangor gagal menyenaraikan senarai penuh semua projek kerajaan Persekutuan yang disabotaj oleh kerajaan Selangor.
Perkara ini berbangkit apabila Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, YB Dato’ Seri Noh Omar menuduh kerajaan Selangor telah sengaja mengagalkan atau melengahkan beberapa projek Kerajaan Persekutuan di Selangor.
Saya juga mencabar Noh Omar, memandangkan dia bukan ADUN di Selangor, maka dia juga harus mengarahkan kesemua dua belas ADUN Barisan Nasional dari parti UMNO untuk membawa setiap satu projek dan rancangan pembangunan yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan di negeri Selangor dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) yang akan datang.
Malangnya, semasa perbahasan yang bermula dua hari yang lalu, kesemua dua belas ADUN UMNO ini masih berdiam dalam perkara ini. Dua orang ADUN BN yang berucap sebelum saya, iaitu ADUN Batang Kali dan Kota Damansara tidak berucap dalam perkara ini. Lima orang ADUN BN yang berucap selepas saya, seperti ADUN Permatang, Sungai Air Tawar, Semenyih, Sungai Burung dan Dengkil, pun tidak membawa isu ini. Maka ini membuktikan bahawa tuduhan-tuduhan Noh Omar tidak ada kredibiliti.
Tujuan saya mencabar mereka mengemukakan senarai penuh ini adalah supaya pihak MMKN boleh memberi penjelasan semasa penggulungan nanti agar perkara ini diperjelaskan sepenuhnya kepada orang ramai dan media.
Saya pasti setiap pertanyaan ini akan dijawab dengan lengkapnya oleh pihak Eksekutif nanti. Cuma saya perlu mengingatkan Noh Omar bahawa memang pernah berlaku Selangor dianak-tirikan oleh Kerajaan Persekutuan akibat perbezaan politik.
Salah satu contoh yang paling baik ialah cadangan membina jambatan merentasi Sungai Klang ketiga di Klang. Kerajaan BN menabur janji untuk membina jambatan ini sebelum PRU ke-12 pada tahun 2008 tetapi janji ini tetap janji yang belum dikota sehingga Kerajaan Selangor terpaksa menggunakan peruntukan sendiri untuk membinanya.