Satu perjumpaan telah diadakan diantara Datuk Saravanan, Pengerusi Yayasan Naam dengan YB Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan saya di Pejabat Yayasan Naam di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur pagi tadi.
Dalam perjumpaan itu kami telah menimbulkan pelbagai soalan berhubung dengan perbelanjaan wang peruntukan kerajaan yang diberikan kepada Yayasan Naam untuk membantu belia-belia India.
Datuk Saravanan, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan bersetuju untuk memberikan senarai nama kesemua 129 orang pengusaha cili yang berjaya dihasilkan oleh Yayasan Naam.
Saya telah menimbulkan soalan bahawa wang sebanyak RM 19 juta telah pun dibelanjakan tetapi Yayasan Naam hanya berjaya mewujudkan 129 orang petani yang mengusahakan pertanian cili di seluruh negara. Datuk Saravanan telah menjawab bahawa Yayasan Naam hanya satu badan untuk memberi latihan sahaja (training provider). Sejak penubuhannya, ia telah berjaya melatih 1330 orang belia India.
Saya juga telah membangkitkan isu RM37 juta yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri untuk Yayasan Naam. Setakat ini hanya RM 19 juta sahaja telah disalurkan melalui Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Adakah ini bermakna, Perdana Menteri sekali lagi telah menipu Parlimen dan masyarakat India secara khususnya?
Kenapa Jabatan Perdana Menteri gagal menyalurkan baki RM18 juta kepada Yayasan Naam? Menurut Datuk Saravanan lagi, pihaknya akan membuat permohonan sekali lagi untuk mendapatkan peruntukan yang dijanjikan itu.
Tetapi, bukankah kerajaan telahpun menjanjikan RM37 juta untuk Yayasan Naam bagi membantu belia-belia India?
Perkara ini telah tersebar luas dan ada dalam rekod Hansad Parlimen. Bukankah ini bermakna Perdana Menteri telah memperlekehkan masyarakat India. Saya memerlukan jawapan daripada Jabatan Perdana Menteri secepat yang mungkin berhubung dengan hal ini.