Skip to content

Perbahasan Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar atas Pindaan Rang Undang-Undang Perkeso

Saya mendapati sejak tahun 2009 sehingga 31 Disember 2015 sebanyak 27,449 kompaun pelbagai kesalahan berjumlah RM9 juta telah dikeluarkan. Daripada jumlah itu 68% adalah kesalahan mendaftar perusahaan dan pekerja. PERKESO telah memberi tempoh pemutihan dengan membuka peluang kepada semua majikan yang layak dan masih belum berdaftar supaya berbuat demikian sebelum 1 April 2016. Sejauh manakah pendekatan pemutihan ini telah mendorong majikan-majikan berdaftar dan apakah hasilnya?

Majikan yang mendaftar sebelum tarikh itu tidak akan dikenakan tindakan kompaun walaupun melebehi tempoh yang ditetapkan serta akan dikecualikan daripada faedah caruman lewat bayar.

Menteri, di sini saya ada beberapa soalan seperti berikut:

  1. Berapakah jumlah majikan yang secara aktif mencarum dalam PERKESO?
  2. Berapakah jumlah majikan yang sepatutnya mencarum tetapi tidak mencarum?
  3. Selain daripada pemutihan, apakah langkah-langkah lain yang telah diambil untuk memastikan semua majikan mencarum?
  4. Apakah tindakan-tindakan yang telah diambil terhadap majikan-majikan yang gagal mencarum? Berapakah ramai yang telah dituduh di mahkamah?
  5. Berapakah ramai pekerja yang telah menjadi mangsa kerana kecuaian majikan yang tidak mencarum, akibatnya pekerja tidak menerima tuntutan.
  6. Berapakah jumlah pekerja yang layak tetapi masih belum berdaftar untuk mencarum dalam Perkeso?
  7. Berapakah jumlah tunggakan yang masih belum dikutip?

Saya juga ingin tahu sejauh manakah keberkesanan Ops Kesan PERKESO 2015 yang dimulakan pada 1 September 2015? Saya difahamkan 300 -350 orang pegawai PERKESO turun mengesan majikan-majikan yang tidak mendaftar dengan PERKESO di seluruh negara?

Tuan Yang Dipertua,

Menteri Sumber Manusia pernah mengumumkan pada Januari 2015 bahawa PERKESO akan memulakan proses pengurusan bayaran faedah kepada waris mangsa pesawat MAS MH370 yang layak. Adakah ini telah dilaksanakan? Jika ya, nyatakan faedah-faedah yang telah dibayar kepada keluarga anak kapal dan penumpang-penumpang lain yang layak.

Tuan Yang Dipertua,

Berhubungan dengan Jemaah Doktor dan Lembaga Rayuan, sering kali kita didatangi pencarum yang membuat aduan bahawa permohonan mereka sentiasa ditolak oleh doktor PERKESO. Apabila kita melihat keadaan fizikal dan kesihatan pencarum itu memang kita merasakan beliau layak untuk mendapat faedah daripada PERKSESO. Oleh kerana keuzurannya, beliau tidak mampu bekerja lagi. Majikan juga tidak mahu pekerja seperti ini dan diberhentikan kerja. Beliau juga tidak mampu untuk bekerja di tempat-tempat lain. Dalam keadaan seperti ini pun, permohonan untuk faedah PERKESO ditolak oleh Jemaah Doktor dan Lembaga Rayuan.

Saya rasa kerajaan harus mencari jalan atau satu kaedah baru untuk membantu golongan yang ditolak oleh Lembaga Rayuan tetapi amat memerlukan pertolongan. Pertimbangan harus dibuat dalam perspektif lain dalam konteks kemanusiaan untuk membantu mereka ini. Perlu ada satu mekanisme yang lebih efektif untuk membantu kebajikan kaum pekerja.

Tidak ada gunanya kepada pekerja-pekerja yang mencarum tetapi tidak mendapat apa-apa bantuan daripada pihak PERKESO dalam keadaan yang amat memerlukan. Saya rasa terdapat ratusan kes-kes seperti ini di seluruh negara.

Tuan Yang Dipertua,

Saya berpendapat bahawa Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1500 yang dibayar oleh PERKESO kepada keluarga pencarum adalah terlalu rendah. Adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk meningkatkan Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah-faedah lain dalam masa hadapan?

Sekian saja perbahasan saya. Terima kasih.