Skip to content

Menumbangkan BN di Sarawak merupakan satu-satunya cara untuk menumbangkan BN pada PRU ke-14

Saya berpandangan bahawa masih ada harapan buat Malaysia kerana kita nampak masih ada berpuluh ribu rakyat Malaysia yang sanggup berjemur bawah matahari terik pada himpunan Mansuh GST pada 2hb April 2016. Walaupun banyak yang berasa bosan dengan demonstrasi-demonstrasi yang diadakan baru-baru ini, masih ada banyak yang masih berjuang demi masa hadapan tanahair kita.

Saya bersama rakyat untuk menentang bukan sahaja GST dan kerajaan BN malah Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak kerana saya setuju bahawa beliau adalah perosak negara dan keborosan serta penyelewengan bawah pimpinan beliau telah menyebabkan rakyat Malaysia menderita. Ekonomi semakin merosot, ketenteraman semakin terancam dan politik perkauman semakin berleluasa. Satu persoalan yang tertanya-tanya sejak beberapa himpunan yang lalu ialah apakah beliau akan meletak jawatan dan apakah GST akan dimansuhkan selepas himpunan. Kerajaan kita tetap tidak akan berubah selepas mana-mana himpunan. Memang benar objektif kita tidak akan tercapai begitu sahaja selepas tunjuk perasaan tetapi ia mampu menghantar mesej dan memberi tekanan kepada pentadbir. Ia jelas dibuktikan selepas himpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 apabila pentadbiran Najib memperkenalkan sistem dakwat kekal yang digunakan semasa mengundi walaupun ia tidak melakukan reformasi terhadap sistem pemilihan secara menyeluruh.

Saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian saya iaitu kerajaan tidak akan bertukar semata-mata melalui tunjuk perasaan dan pengalihan kuasa harus dibuat melalui pilihanraya umum. Himpunan hanyalah merupakan suatu kempen kesedaran agar rakyat jelata tidak melupai kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan oleh pentadbiran Najib terhadap kita. Rakyat Malaysia masih perlu berusaha ke arah perubahan yang di impikan.

Justeru, saya menyeru kepada semua orang agar jangan berputus asa. Perjuangan perlu diteruskan dan cabaran dihadapan kita sekarang adalah pilihanraya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi. Kita perlu berganding bahu untuk menghalang BN daripada terus menguasai negeri Sarawak. Rakyat Sarawak memahami bahawa bagaimana mereka ditindas oleh BN selama ini dan kini tiba masanya untuk suatu perubahan.

Rakyat Sarawak yang bekerja di luar wajib pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi dan sekiranya kamu bukan pengundi, kamu patut pulang juga kerana kamu sekurang-kurangnya boleh membantu berkempen dengan berkongsi maklumat mengenai kezaliman dan penyelewengan Najib dan kerajaannya mengenai skandal-skandal seperti 1MDB, RM2.6 bilion dan sebagainya dengan saudara mara kerana tiada maklumat terperinci mengenai pembongkaran skandal-skandal ini di perolehi di kawasan pedalaman. Bagi mereka yang bukan rakyat Sarawak, kamu juga memainkan peranan yang penting kerana banyak yang kamu boleh menyumbang. Selain sumbangan dana pilihanraya kepada parti-parti politik, kamu boleh membantu memberi sumbangan tambang kapal terbang kepada kawan-kawan daripada Sarawak untuk balik mengundi dan sekiranya kamu adalah majikan yang mempunyai pekerja-pekerja Sarawak, benarkan mereka balik dengan memberi cuti berbayar selain tambang kapal terbang.

Menumbangkan BN di Sarawak merupakan satu-satunya cara untuk menumbangkan BN pada PRU ke-14 kerana Sarawak merupakan ‘simpanan tetap’ kerusi BN selama ini. Perubahan tidak akan berlaku semata-mata dengan tunjuk perasaan dan dengan bercakap sahaja. Bertindaklah sekarang demi Selamatkan Malaysia.