Skip to content

PERDA masih tidak jawab dalam skandal kerugian RM15.2 juta dalam penjualan tanah mengapa mereka tidak jalankan tender terbuka dan menolak taksiran nilai tanah sebanyak RM16.6 juta oleh Kerajaan Persekutuan?

PERDA masih tidak jawab dalam skandal kerugian RM15.2 juta dalam penjualan tanah, mengapa mereka tidak jalankan tender terbuka dan juga menolak taksiran nilai tanah sebanyak RM16.6 juta oleh kerajaan persekutuan. PERDA telah menjual 8.6 ekar tanah di KADUN Sungei Acheh, Nibong Tebal, pada 2015 dengan harga RM1.4 juta sungguhpun nilaian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) adalah RM16.6 juta.

Pengerusi PERDA Datuk Seri Shabudin Yahaya nampaknya tidak mahu terima hakikat kerugian RM15.2 juta dialami dalam penjualan tanah ini dengan menyatakan penilaian oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM16.6 juta hanya untuk tanah di sekitar dan bukan untuk tanah ini. Apakah asas beliau menolak taksiran oleh kerajaan persekutuan ini?

Shabudin telahpun menjelaskan bahawa tanah dijual murah dengan kerugian RM15.2 juta kerana tanah itu mendap dan hakisan teruk akan mengakibatkan kerugian sebanyak RM10 juta kepada PERDA. Tambahan pula dengan penjualan murah ini, pembeli SYT Prestige Sdn Bhd(SYT) disyaratkan untuk membina rumah murah bagi rakyat.

Alasan Shabudin adalah tidak benar sama sekali. Kos rawatan tanah maksimanya adalah RM 5 juta. Macam mana sebuah syarikat boleh cari untung dengan membina rumah murah sekiranya PERDA yang merupakan agensi kerajaan persekutuan bukan untung, tak dapat laksanakannya. Takkan sebuah agensi kerajaan persekutuan bukan untung, tak berdaya sehingga tak mampu untuk bina rumah murah, apa yang boleh dibuat oleh sebuah syarikat swasta dan juga pada masa yang sama boleh untung.

Sekiranya macam itu, lebih baik PERDA gulung tikar dan jualkan semua tanah milikannya kepada pihak swasta. Tidak ada kepastian tentang kos sebenarnya bila PERDA tidak mahu menjelaskan mengapa penjualan tanah dibuat tanpa tender terbuka. Tender terbuka membolehkan harga tawaran yang paling tinggi dipilih. Hendak jadi broker tanah pun mesti untung, jangan-jangan rugi dengan menjualkannya tanpa tender terbuka.

Lagipun, dakwaan Shabudin bahawa pembeli disyaratkan membina rumah murah amat diragui bila arkitek SYT membentangkan permohonan untuk membina 27 buah rumah kedai kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai(MPSP) pada 28.3.2016. Tidak ada sebuah rumah pun dicadangkan, jangan sebut rumah murah.

Dakwaan PERDA bahawa rumah murah akan dibina kemudian selepas rumah kedai, amat mengelirukan dan tidak bertanggungjawab. Ini kerana garispanduan perumahan yang dipakai di seluruh negara mewajibkan rumah murah, seperti rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah, dibina dahulu atau serentak dengan rumah kedai atau yang mewah. Macam mana rumah murah boleh dibina serentak dengan rumah kedai bila tidak ada permohonan dibentangkan untuk bina sebuah rumah pun, jangan pun sebut rumah murah?

Shabudin tidak harus berdolak-dalik lagi bahawa penjualan murah ini baik untuk rakyat miskin di luar bandar. Beliau harus bersikap berani kerana benar dengan berdepan dengan saya untuk menjelaskannya satu sama satu. Jangan cuba lagi menegakkan benang yang basah dengan menyatakan penjualan murah 8.6 ekar tanah dengan kerugian RM15.2 juta adalah baik untuk PERDA and berkepentingan awam.