Skip to content

Tidak bersetuju dengan perancangan MARA untuk mengurangkan tajaan pelajar perubatan ke United Kingdom dan menggantikannya dengan menghantar pelajar tajaan ke India bagi tujuan mengurangkan perbelanjaan

Saya tidak bersetuju dengan perancangan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mengurangkan tajaan pelajar perubatan ke United Kingdom dan menggantikannya dengan menghantar pelajar tajaan ke India bagi tujuan mengurangkan perbelanjaan.

Tindakan kerajaan yang memotong bajet pendidikan kerana langkah berjimat cermat ini telah mengakibatkan rakyat semakin hilang kepercayaan kepada kebolehan kerajaan mentadbir negara ini. Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Kewangan juga perlu menjelaskan kepada rakyat, ke manakah duit perbendaharaan negara hinggakan pendidikan seringkali menjadi mangsa keadaan.

Kerajaan bersikap begitu ‘murah hati’ terhadap 1MDB serta pegawai kerajaan yang ‘membeli sesuatu dengan harga tinggi’, namun seringkali bersikap sambil lewa dalam bab pendidikan, sesuatu aspek yang mampu mengubah masa depan negara, dengan menggunakan alasan tiada peruntukan, lantas mengorbankan dana untuk memupuk generasi tonggak negara masa hadapan.

Kerajaan boleh menjamin hutang 1MDB berjumlah RM5.8 billion, pada masa yang sama menjual tanah dengan harga yang jauh lebih murah kepada syarikat yang terpalit dengan pelbagai skandal ini, namun tidak mampu untuk menaja pelajar cemerlang ke United Kingdom bagi mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti, ini menyebabkan timbulnya keraguan terhadap asas pentadbiran kerajaan.

Saya percaya pendidikan merupakan asas kepada sesebuah negara. Jika pendidikan kerapkali menjadi korban kerajaan, dan tiada usaha untuk menghentikan pembaziran tanpa had yang dilakukan oleh jabatan lain, negara ini akan semakin mundur dan akan kehilangan tenaga mahir dan berbakat.