Skip to content

Denggi boleh mengugat pertumbuhan industri pelancongan Malaysia, perlu kawalan meluas

Kerajaan di setiap peringkat harus memberi perhatian yang serius kepada masalah wabak denggi yang masih mengancam kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia. Walaupun terdapat banyak faktor yang menjadi punca kepada wabak demam denggi tetapi peranan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah kawalan tertentu juga adalah amat penting sekali. Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan harus bersama-sama memerangi wabak denggi ini.

Walaupun deman denggi ini wujud dari dahulu lagi tetapi baru-baru ini jumlahnya telah meningkat dengan begitu mendadak sekali. Deman ini bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk tempatan tetapi boleh mengugat industri pelancongan negara jika kita gagal mengawalnya.

Negara kita juga amat bergantung kepada sumber pendapatan daripada industri pelancongan. Jika deman denggi terus berleluasa, ini akan menakutkan pelancong-pelancong asing untuk melawat negara kita.

Pada tahun 2015, sebanyak 120, 836 kes denggi dilaporkan di seluruh negara. Ini merupakan satu jumlah yang sangat besar dan mengerunkan. Daripada jumlah ini, 336 pesakit deman denggi telah meninggal dunia. Berita-berita seperti ini boleh menjejaskan industri pelancongan negara kita.

Mengikut Kementerian Kesihatan, terdapat peningkatan tren wabak denggi di negara kita bermula awal Januari 2016 sehingga akhir Januari 2016. Walaupun tren ini menurun bermula awal Februari 2016 sehingga pertengahan bulan Februari 2016. Untuk tempoh dari 14 Februari hingga 20 Februari 2016, sebanyak 1,121 lokaliti wabak denggi dilaporkan di seluruh negara.

Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Kebangsaan dan Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri harus lebih aktif dalam segala usaha untuk mengawal wabak ini daripada terus meningkat. Selain daripada itu, Ops Gempur Aedes di kawasan-kawasan tapak pembinaan juga perlu dikerapkan lagi. Lebih banyak kempen kesedaran mengenai deman denggi perlu diadakan di tempat-tempat sasaran.

Tanpa kesedaran masyarakat dalam soal kebersihan persekitaran tidak akan menjayakan apa-apa usaha kerajaan membenteras wabak denggi. Tumpuan harus diberi untuk menyedarkan tentang pentingnya kebersihan dan bahaya penyakit denggi kepada masyarakat umum.