Skip to content

Kerajaan tanggung 90% yuran IPTA?

Adakah benar bahawa kerajaan memberi subsidi sebanyak 90% ke atas yuran pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA)? Maklumat ini diberikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi dalam satu jawapan di Parlimen. Saya tidak dapat mempercayai bahawa kerajaan menanggung 90% kos yuran pengajian tinggi itu. Jika kerajaan boleh menanggung 90% yuran pendidikan itu maka adalah tidak mustahil untuk melepaskan 10% lagi.

Apa salahnya kerajaan melepaskan 10% yuran pendidikan yang perlu ditanggung oleh mahasiswa-mahasiswi? Jika kerajaan boleh menanggung 90%, baki 10% tidak akan menjadi satu beban yang besar kepada kerajaan untuk melepaskanya. Saya mencadangkan supaya kerajaaan menanggung 100% yuran pelajar-pelajar IPTA. Ini amat membantu anak-anak kita terutamanya daripada golongan miskin dan sederhana.

Hari ini, mahasiswa dan mahasiswi kita di IPTA terpaksa menanggung kos pendidikan yang amat tinggi berbanding dengan 20 tahun yang lalu. Bantuan-bantuan seperti Baucar 1Malaysia, Kad Siswa dan tabung kebajikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelajar-pelajar. Tetapi, bantuan-bantuan seperti ini adalah tidak memadai. Pelajar-pelajar IPTA tidak harus dibebankan dengan kos pengajian dan sara hidup yang tinggi. Ini boleh mengganggu proses penimbaan ilmu kerana tersangkut dengan beban kewangan yang amat menyusahkan mereka.

Kerajaan seharusnya lebih prihatin tentang kebajikan pelajar-pelajar IPTA terutamanya mereka yang datang daripada golongan berpendapatan rendah dan rendah. Ramai juga diantara mereka datang dari kawasan luar bandar yang terpencil. Kos sara hidup yang semakin meningkat akan memberi impak yang besar kepada kebajikan dan kemajuan pendidikan mereka.

Kementerian Pendidikan Tinggi mendakwa bahawa seramai 31,776 pelajar-pelajar IPTA telah menerima bantuan kebajikan dan bantuan kewangan sepanjang tahun 2015. Pada tahun 2015 juga, seramai 6813 orang pelajar IPTA terpaksa bekerja secara sambilan bagi menampung kos sara hidup. Fakta-fakta ini membuktikan ramai di antara anak-anak kita di IPTA menghadapi masalah kewangan.

Saya rasa sudah tiba masanya untuk kerajaan menggubal dasar pendidikan percuma khasnya menghapuskan yuran akademik IPTA.