Sementara saya menghormati pendapat beberapa pihak supaya debat mengenai Taman Manggis atau sebarang topik lain, antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan saya sendiri dibatalkan; debat ini wajar diteruskan dalam semangat demokrasi yang sihat dan atas kepentingan mencari kebenaran berasaskan fakta.
Biar saya tegaskan bahawa Abdul Rahman Dahlan telah mencabar saya berdebat pada hari Rabu lalu. Saya dengan pantas menyahut cabaran itu pada hari Khamis, kemudian pada hari Jumaat beliau dengan begitu teruja mengatakan beliau tidak sabar-sabar lagi.
Selepas menyatakan rasa tidak sabarnya, Rahman memeranjatkan semua orang apabila lewat hari Jumaat itu beliau memberitahu akan berangkat ke luar negara dan hanya akan pulang pada 15 April.
Ini menimbulkan rasa curiga yang beliau cuba melepaskan diri daripada debat yang dicadangkan oleh beliau sendiri. Saya justeru memberi tempoh seminggu yang luput pada malam 16 April untuk menguji keikhlasan dan komitmennya untuk meneruskan debat tersebut.
Memandangkan beliau akan pulang pada 15 haribulan, tidak ada sebab untuk beliau cuba melepaskan diri dan tidak berdebat dengan saya pada malam 16 haribulan.
RTM dan TV3 telah menawarkan untuk menyiarkan sesi debat tersebut secara langsung. Justeru itu, Abdul Rahman Dahlan tidak sepatutnya menarik diri, sebaliknya mencadangkan tarikh untuk debat ini mengambil tempat.