Skip to content

Kenyataan media oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang mewakili pihak pembangkang Parlimen mengenai Laporan PAC terhadap 1MDB

1) Laporan Ketua Audit Negara Mengenai 1MDB

Kami merasa terkejut dan kecewa apabila Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentangkan kepada Parlimen bersama dengan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenan syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sebagaimana sepatutnya.

Secara konvensyen, Laporan Ketua Audit Negara akan dibentangkan bersama Laporan PAC, malah Pengerusi PAC, YB. Datuk Hasan Arifin, tidak pernah membangkitkan isu ini dalam mesyuarat PAC. Beliau dalam pengumuman awamnya telah menegaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara hanya akan dirahsiakan sehingga Laporan PAC dibentangkan kepada Parlimen.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, juga telah menerangkan kepada ahli-ahli PAC bahawa tindakan merahsiakan Laporan beliau adalah hanya untuk mengelakkan pembocoran matlumat sebelum Laporan PAC disiapkan. Beliau turut menyebut bahawa sama ada Laporannya dibentangkan adalah terserah kepada keputusan PAC.

Kami merasakan tiada sebarang keperluan untuk menyembunyikan sebarang maklumat yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara di peringkat ini, malah kegagalan menerbitkannya bersama Laporan PAC akan menjejaskan kredibiliti PAC sebagai sebuah badan yang bebas yang bekerjasama erat dengan Jabatan Audit Negara (JAN).

Oleh sebab itu, kami menyeru supaya Laporan Ketua Audit Negara akan turut dibentangkan dalam Parlimen bagi menunjukkan bahawa pihak PAC telah menjalankan tugasnya secara telus dan berintegriti.

2) PAC tidak pernah membuat keputusan bahawa Dato’ Seri Najib Razak tidak bersalah

Kami ingin merujuk kepada sesi temu ramah YB. Pengerusi PAC dengan Bernama yang antara lainnya telah menyebut perkara-perkara berikut:

a) Tiada bukti untuk mencadangkan berlaku salah laku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana ataupun berlaku transaksi pelaburan mahupun pelaburan atau mana-mana aktiviti 1MDB yang menjurus kepada aktiviti yang menyalahi undang-undang;

b) PAC juga mendapati bahawa RM42 bilion hutang 1MDB tidak ‘hilang’ sebagaimana tuduhan pelbagai pihak kerana ia sudah dihitung dan tiada pembayaran dilakukan daripada 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri;

c) PAC tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa Perdana Menteri dan keputusan ini dibuat sebulat suara dan dengan konsensus oleh kesemua anggota PAC.

Kami ingin memperbetulkan kenyataan YB. Pengerusi PAC yang jelas tidak mencerminkan persidangan PAC dalam siasatan terhadap 1MDB.

a) Laporan PAC langsung tidak menyebutkan bahawa tiada bukti untuk mencadangkan berlaku salah laku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana. Sebaliknya, Ketua Audit Negara dan PAC telah mendapati bahawa telah berlaku banyak perkara yang amat diragui dan mencurigakan dalam transaksi 1MDB termasuk bayaran berbilion-bilion ringgit kepada syarikat-syarikat asing yang tidak dapat dipastikan pemilikannya seperti Good Star Limited dan Aabar Investment PJS Limited.

Oleh sebab pegawai 1MDB dan Kementerian Kewangan tidak memberikan kerjasama untuk menyampaikan maklumat-maklumat penting ini, termasuk penyata bank (bank statements) 1MDB luar negeri dan dokumen pemilik saham syarikat-syarikat di atas, Laporan PAC telah menyeru supaya pihak berkuasa, yang termasuklah pihak polis untuk menyiasat semula kes ini.

b) Isu sama ada RM42 bilion itu “hilang” tidak pernah dibincangkan oleh PAC kerana perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan. Sebaliknya, Ketua Audit Negara telah melaporkan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan nilai wang tunai dan aset yang dikemukakan oleh pihak 1MDB, termasuklah antaranya:

(i) US$1.03 bilion yang dibayar kepada Good Star Limited dan perkara ini telah ditegur oleh Bank Negara Malaysia.

(ii) US$3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar Investment PJS Limited atas alasan pembayaran ‘deposit sekuriti’, ‘penamatan opsyen’ dan ‘top-up security’;

(iii) US$940 juta yang berbentuk “unit” di BSI Bank, Singapura; dan

(iv) US$1.56 bilion pelaburan oleh 1MDB Global Investment Limited.

Ini adalah kerana 1MDB langsung tidak menyampaikan kesemua dokumen yang diperlukan, termasuk penyata bank luar Negara. Oleh sebab itu, ia telah mengbangkitkan kerisauan antara kami bahawa wang dan ‘pelaburan’ 1MDB sebanyak US$7 bilion (RM28 bilion) telah hilang kerana tidak dapat dikesan.

Pada masa yang sama, malangnya pihak PAC juga tidak dapat mengesahkan sama ada pembayaran dilakukan daripada 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri kerana dokumen-dokumen yang diperlukan seperti penyata bank tidak diserahkan kepada Ketua Audit Negara.

c) PAC juga tidak pernah membuat sebarang keputusan bahawa Perdana Menteri tidak bersalah. Oleh itu kami menggesa supaya YB. Datuk Hasan Arifin untuk mengemukakan bukti melalui Hansard bahawa keputusan ini “dibuat sebulat suara dan konsensus oleh kesemua anggota PAC”. Tegasnya ahli-ahli PAC langsung tidak boleh membuat sebarang ketetapan mengenai perkara ini, tanpa kerjasama penuh daripada 1MDB dan Kementerian Kewangan.

Sebaliknya, dokumen-dokumen yang diperolehi oleh Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa Dato’ Seri Najib telah meluluskan secara bertulis segala keputusan-keputusan penting yang dibuat oleh syarikat, termasuklah:

(i) pelaburan dengan Petrosaudi International,
(ii) penerbitan bon sebanyak US$6.5 bilion,
(iii) pembelian syarikat-syarikat penjanakuasa bebas; dan pemecatan juruaudit yang tidak setuju dengan pendirian 1MDB.

Sehubungan dengan itu, kami menggesa supaya Pengerusi PAC menarik balik kenyataan-kenyataan tadi kerana ia merupakan kenyataan yang langsung tidak berasas, menyelewengkan pendangan PAC dan bersifat bohong. Kami berharap supaya Pengerusi PAC tidak menyalahgunakan jawatannya sebagai Pengerusi PAC, sebuah jawatankuasa Parlimen untuk kepentingan politik BN dan Dato’ Seri Najib Razak.